Tuntut pembahagian sama rata Cukai Pelancongan
Kerajaan tidak berkompromi, Karim, Abang Johari akan kembali ke Putrajaya bincang perkara ini
KUCHING: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam menuntut pembahagian sama rata terhadap hasil daripada kutipan Cukai Pelancongan kepada Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Justeru, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau bersama Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg akan kembali semula ke Putrajaya bagi membincangkan lagi perkara tersebut.
Katanya, ia susulan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk membahagikan hanya 10 peratus hasil cukai tersebut kepada Sarawak, sedangkan sebelum ini telah berjanji untuk membuat pembahagian sama rata antara tiga wilayah terbabit.
“Hasil daripada kutipan cukai ini harus dibahagikan ke- pada tiga wilayah – Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dan kita mahu itu dikekalkan.
“Kita akan membawa semula perkara ini kepada kerajaan pusat untuk keputusan yang lebih baik,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dalam pada itu, Karim berkata kerajaan negeri juga akan menyokong pada bilabila masa Cukai Pelancongan mula dilaksana kerana ia hanya dikenakan kepada pelancong asing dan bukan rakyat Malaysia.
Jelas beliau, kerajaan negeri tidak dapat membantah pelaksanaan cukai tersebut kerana ia sudah diluluskan di Parlimen malah turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Sarawak.
“Kita menerima cukai ini tetapi isu sekarang, bagaimana pembahagian dilakukan… kita mahu ia dibahagikan sama rata, itu sahaja,” katanya.
Tambah beliau, pembahagian hasil cukai tersebut secara sama rata amat penting untuk Sarawak dan Sabah kerana selama ini, promosi pelancongan di kedua-dua negeri ini telah banyak dibuat oleh agensi pelancongan negeri.
Hasil daripada kutipan cukai ini harus dibahagikan kepada tiga wilayah – Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dan kita mahu itu dikekalkan. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan