Kes tertuduh utama ditangguh
Tunggu keputusan berhubung pembebasan tiga tertuduh kes Kayong
MIRI: Mahkamah Tinggi semalam membenarkan pendengaran keterangan bela diri tertuduh pertama, Mohamad Fitri Pauzi ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembebasan tiga tertuduh dalam kes ini.
Hakim Ravinthran N. Paramaguru turut menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar bagi memaklumkan perkembangan kes rayuan tersebut yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Terdahulu menurut beliau, semasa sebutan kes pada 14 Jun lalu, Timbalan Pendakwa Raya ( TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz telah mengemukakan dua permohonan iaitu yang pertama memohon agar perbicaraan ( keterengan bela diri tertuduh) pada hari itu ditangguhkan sehingga rayuan terhadap pembebasan tertuduh kedua, ketiga dan keempat diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Manakala dalam permohonan kedua, Fuad memohon penangguhan selama dua minggu bagi menyiasat notis alibi difailkan pada 12 Jun lalu oleh peguam bela Ranbir Singh yang mewakili Fitri.
“Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa siasatan berhubung notis alibi telah selesai.
“Justeru permohonan pihak pendakwa untuk menangguhkan pendengaran keterangan bela diri tertuduh yang dijadualkan pagi ini (semalam) dibenarkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembebasan dan perlepasan tiga tertuduh yang lain dalam kes ini,” katanya dalam prosiding yang berlangsung kurang 10 minit itu.
Fitri, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasaraya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.
Manakala pada 6 Jun lalu, Ravinthan mendapati pihak pendakwa berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Fitri dalam kes ini, justeru memerintahkannya supaya membela diri.
Pada tarikh sama, beliau memutuskan agar tertuduh Lie Chang Loon, Chin Wei Chung dan Datuk Stephen Lee Chee Kiang yang masing- masing merupakan tertuduh kedua, ketiga dan keempat dibebas dan dilepas tuduhan bersubahat membunuh Bill Kayong setelah mendapati tiada bukti kukuh dapat mengaitkan mereka dengan kesalahan didakwa.
Lie, 38, dari Taman Pin Fook; Chin, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Datuk Stephen Lee, 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing- masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dalam kes itu, ketiga-tiga tertuduh dituduh bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.
Hadir sama mendengar kes itu semalam ialah peguam bela Ranbir Singh, Orlando Chua, Arthur Lee dan David Kuok serta dua peguam bela pemerhati bagi keluarga Bill iaitu Majen Panyog dan Jeffery Mok Hui Chung.