BDA perlu kerjasama jadikan Bintulu ala kota Singapura
BINTULU: Warga Bintulu perlu bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam usaha untuk menjadikan bandar Bintulu bukan sahaja bersih dan cantik malah menjadikannya sebuah bandar taman yang mampu mencontohi negara Singapura.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi berkata, bagaimanapun ia memakan tempoh panjang bagi menjadikan Bintulu seperti Singapura.
“Saya suka Singapura, saya membayangkan bagaimana keadaannya kalau kita dapat mendiami bandar ini seperti Singapura. Tidak perlu pergi jauh ke Sydney Australia atau negara besar luar tetapi cukup Singapura untuk kita lihat bangunan pencakar langit.
“Semasa saya berjalan di negara itu, ia seperti berada dalam bandar taman, tiada sampah,” ujarnya dalam ucapan aluan Program BDA Townhall di Auditorium BDA Wisma Bintulu kelmarin.
Justeru katanya, beliau merayu penduduk Bintulu agar bekerjasama menjadikan Bintulu bandar yang cantik dan bersih.
“Jika bandar ini cantik ia akan hidup dan mampan serta memberi kesan kepada banyak perkara,” katanya sambil menambah pembuangan sampah seperti botol plastik memerlukan masa 170 tahun mereput manakala styrafoam pula 1,000 tahun.
Jelasnya, pada sesi perjumpaan itu BDA cuba mendapatkan respons, pendapatan dan cadangan bagaimana mengurus bandar Bintulu dengan baik.
“Kami juga berkongsi dengan penduduk apa dirancang, berapa banyak pelan dan bagaimana ia dilaksana,sumber mana yang dibelanja dan apa perlu dilakukan untuk bandar ini.
“Semuanya memerlukan penglibatan orang awam secara menyeluruh dalam kerja terbabit berbanding hanya terlibat kerja pembersihan sampah,” katanya.
Jelasnya, dengan penyertaan seramai 300 peserta dalam pro- gram ini ia menumpu kepada isu berkaitan pembuangan sampah dan aturan yang selamat dalam pengurusannya melalui penglibatan awam.
Sebagai pihak berkuasa tempatan katanya, sama ada suka atau tidak untuk ke hadapan memerlukan penglibatan orang awam dalam perjuangan untuk membina bandar yang mampan dan cantik, jika tidak kita tidak akan beroleh kejayaan.
“Halangan besar juga adalah sumber kewangan. Dalam membabitkan penyelenggaraan, BDA telah melakukan usaha lebih keras sejak tahun 2015 dan saya percaya Bintulu kini lebih bersih, cantik dan kita ingin menjadikannya lebih baik untuk menjadikan Bintulu yang terbaik,” katanya.
Terdahulu beberapa penceramah hadir memberikan ceramah dalam program itu adalah Majlis Bandaraya Kota Kinabalu Sabah, Majlis Bandaraya Miri dan Sibu mengenai beberapa program kempen dan pengurusan bandar mereka.