Pengaruh dan personaliti media sosial
PADA zaman di mana penggunaan teknologi dan media sosial adalah tidak terhad kepada hanya segolongan individu, ramai belia kini telah menjadi personaliti media sosial dan ini telah menawarkan pelbagai peluang yang baharu untuk mereka.
Di Sarawak, konsep personaliti media sosial bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan aliran itu kini sedang meningkat.
Sebagai personaliti online, personaliti media sosial mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi para pengikut sama ada dengan gaya hidup mereka, isu-isu semasa atau menawarkan perspektif baharu mengenai isu-isu yang diambil berat oleh masyarakat.
Memandangkan mereka sentiasa mendahului dunia media sosial dan juga mempunyai kehadiran online yang aktif serta jumlah pengikut yang besar, personaliti media sosial kini sering menjadi sasaran syarikat besar untuk menjadi jurucakap bagi produk mereka.
Gaya hidup personaliti media sosial yang aktif dan unik – seperti yang digambarkan dalam rangkaian media sosial – adalah sesuatu yang diidamkan oleh golongan muda-mudi, sehingga personaliti-personaliti tersebut menjadi sasaran syarikat besar untuk mewakili jenama barangan mereka.
Pada masa ini, personaliti media sosial seperti ‘Youtubers’, blogger, pakar industri, aktivis, dan selebriti dilihat sebagai sebahagian daripada pemasaran jenama atau produk di laman media sosial seperti Instagram, Facebook, YouTube dan Snapchat.
Oleh kerana kebanyakan orang bergantung dengan teknologi dan media sosial untuk mendapatkan maklumat, personaliti media sosial mempunyai peranan penting dalam pemasaran jenama, selain memberi peluang bagi mereka untuk mula menceburi bidang keusahawanan.
Kajian telah menunjukkan bahawa pengguna lebih cenderung untuk mempercayai ahli keluarga, rakan-rakan dan personaliti media sosial, berbanding dengan iklan-iklan yang ditayangkan kerana mereka melihat personaliti media sosial sebagai jurucakap yang boleh dipercayai untuk jenama-jenama tertentu.
Sebagai personaliti media sosial, mereka harus mempunyai keupayaan untuk mendapat kepercayaan pengikut, kandungan media sosial yang berkualiti tinggi dan sentiasa aktif online untuk sentiasa berhubung dengan pengikut mereka. Biasanya, personaliti media sosial akan mendapat bayaran dalam bentuk wang tunai atau produk.
Walaupun kelihatan mudah untuk menjadi seorang personaliti media sosial yang berpengaruh, ia bukan sekadar bergantung kepada kehadiran yang aktif di media sosial, kerana ‘kerjaya’ ini adalah gabungan kemahiran pengiklanan, penempatan produk, promosi diri dan penguasaan penggunaan teknologi.
Memandangkan menjelang 2020 sekurang-kurangnya lima peratus daripada semua siswazah akan mencebur diri dalam bidang keusahawanan, kehadiran media sosial dan kemajuan dalam teknologi seolah-olah memberi peluang kepada para belia untuk menjadi orang yang berpengaruh di media sosial, sama ada untuk tujuan keusahawanan atau sosial.
Walaupun anda mungkin tidak semestinya menjadi personaliti media sosial, sentiasa mencari kaedah baharu dan inovatif untuk mempromosikan jenama atau produk adalah amat digalakkan terutama bagi usahawan dan aktivis sosial dalam kalangan anda.
Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – sebuah inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak. Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.