MIDA gesa PKS manfaatkan potensi teknologi Industri 4.0
JOHOR BAHRU: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia ( MIDA) menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar meningkatkan tahap kecekapan, mengukuhkan hubungan antara syarikat dan bertindak balas mengikut perubahan pasaran untuk kekal berdaya saing.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk N. Rajendran berkata syarikat-syarikat tempatan, terutamanya dalam industri berintensifkan buruh seperti sektor perabot, boleh mendapat banyak faedah dengan mengguna pakai teknologi Industri 4.0.
Ini termasuk pembuatan pintar, robotik dan Internet Things of Things Industri (IIOT) untuk meningkatkan jumlah pengeluaran dengan banyak dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
“Apabila beralih daripada industri berintensifkan buruh kepada jentera, anda akan mendapat tiga manfaat tambahan, iaitu, dari segi jumlah, mesin tentunya menghasilkan lebih banyak lagi berbanding tenaga manusia.
“Kedua, dari segi ketepatan dan kejituan. Jika anda ingin bersaing di peringkat global, anda tidak boleh melakukan kesilapan dalam produk anda dan ketiga, dari segi harga, anda akan mempunyai produk yang berkualiti tinggi tetapi murah dalam masa yang lebih singkat.
“Dalam jangka panjang, ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Contohnya, jika kita melihat Taman Perabot Muar, kita berharap dapat melihat ia akan muncul sebagai projek canggih yang mengguna pakai teknologi tinggi selaras dengan aspirasi Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ini selepas menghadiri Persidangan Rangkaian Bekalan Wilayah Selatan, di sini kelmarin.
Rajendran berkata di bawah Bajet 2015, Elaun Modal Automasi (ACA) diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan automasi dalam sektor pembuatan.
Inisiatif ini menyediakan elaun modal automasi sebanyak 200 peratus untuk industri berintensifkan buruh yang tinggi seperti produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil.
“Bagi skim ini, MIDA meluluskan 32 permohonan pada 2016. Selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan insentif khusus berkait dengan Industri 4.0 untuk belanjawan tahun ini, MIDA sedang mengenal pasti insentif yang sesuai untuk membantu syarikat dalam usaha transformasi teknologi mereka.
“Selain itu, MIDA juga memperuntukkan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebanyak RM1 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang diberikan kepada syarikat- syarikat Malaysia yang ingin memasuki rantaian nilai global Syarikat Multinasional (MNC).
“Sebagai contoh, sekiranya syarikat perlu membeli mesin untuk menaik taraf produk mereka, untuk membekalkan kepada rantaian nilai global, kami akan menyediakan geran yang sepadan. Jika mereka membeli mesin pada RM2 juta, kami akan membiayai separuh daripadanya,” kata Rajendran.
Setakat 30 Jun 2017, MIDA meluluskan RM1.3 bilion untuk 261 projek di bawah DISF dengan pelaburan bernilai RM12.7 bilion.
Rajendran berkata MIDA akan bekerjasama dengan Johor Corporation (JCorp) dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk memastikan Taman Perabot Muar yang baharu mempunyai semua proposisi nilai yang tepat untuk merangsang penggunapakaian Industri 4.0 dalam kalangan syarikat tempatan.
Ini akan memperkukuh lagi kedudukan Johor sebagai pengeksport utama perabot kayu bernilai tambah tinggi di Malaysia.
Johorjugaakanmenubuhkan ‘Robotic Future City’ berikutan pemeteraian perjanjian antara JCorp dan Siasun Robot Investment semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing pada Mei tahun ini.
Apabila ia menjadi kenyataan, projek RM15 bilion itu bersedia untuk membangunkan industri robotik, serta memacu pertumbuhan pelbagai rantaian bekalan di negara ini.
Johor adalah antara penerima pelaburan utama dalam sektor pembuatan.
Sehingga 2016, sebanyak 4,464 projek dengan pelaburan bernilai RM145.2 bilion telah dilaksanakan di negeri ini.
Lebih 500,000 penduduk tempatan telah mendapat manfaat daripada projek-projek ini melalui pekerjaan.
Negeri ini terus mengekalkan kedudukannya pada tahun 2016 sebagai penerima terbesar projek pembuatan yang diluluskan dengan 165 bernilai RM26.4 bilion.
Projek-projek ini bersedia untuk menghasilkan lebih 8,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. — Bernama