Genting Plantations beli syarikat Indonesia pada harga AS$94.97 juta
KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung Genting Plantations Bhd, AsianIndo Holdings Pte Ltd, telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Lee Rubber Company (Pte) Ltd untuk mengambilalih 100 peratus kepentingannya dalam Knowledge One Investment Pte Ltd (KOI) pada harga AS$94.97 juta (AS$ 1 = RM4.2880).
KOI, melalui anak syarikat 85 peratus miliknya di Indonesia, PT Kharisma Inti Usaha (PT KIU), mempunyai hak penanaman kelapa sawit di kawasan seluas 14,661 hektar di Tapin Puteh, Kalimantan Selatan, Indonesia.
“Selepas pengambilalihan itu selesai, Genting Plantations akan memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 85 peratus dalam PT KIU,” kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia kelmarin.
Genting Plantations juga berkata cadangan pengambilalihan itu akan mewakili pelaburan strategik oleh kumpulan berkenaan sebagai inisiatif pengembangan ke Indonesia, yang dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan, termasuk nilai para pemegang saham pada masa akan datang.
Tanah PT KIU terletak berhampiran dengan tanah-tanah simpanan Genting Plantations di Kalimantan Tengah, sekali gus memberi potensi manfaat daripada sinergi operasi dan ekonomi berskala, katanya.
“Cadangan pengambilalihan itu akan meningkat gabungan simpanan tanah perladangan di Malaysia dan Indonesia kepada 242,597 hektar berbanding 227,936 hektar sekarang ini,” katanya.
Langkah tersebut juga akan mempercepatkan pengembangan huluan kumpulan itu di Indonesia, memandangkan lebih kurang 12,893 hektar tanah sedia ada sudah pun ditanam, ini meningkatkan jumlah kawasan tanaman keseluruhan Genting Plantations di Indonesia kepada 84,833 hektar daripada 71,940 hektar, pada 31 Disember 2016. — Bernama