Kardinal seru Filipina henti ‘perang dadah’
MANILA: Ketua Gereja Katolik yang berpengaruh di Filipina semalam menyeru agar ditamatkan tindakan ‘ mensia- siakan nyawa manusia” ekoran minggu yang kejam dalam perang dadah Presiden Rodrigo Duterte di mana seorang remaja lelaki berusia 17 tahun adalah antara puluhan orang yang maut.
Serbuan polis yang digelar ‘ One Time Big Time’ menyaksikan sekurangk-urangnya 76 orang ditembak mati, kata pihak berkuasa, manakala kumpulan hak asasi manusia dan penggubal undang-undang mengecam operasi itu sebagai pembunuhan menggila yang membimbangkan dalam kempen utama Duterte.
Semalam pegawai berpangkat tertinggi Gereja di negara majoriti Katolik itu menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan dalam jumlah kematian.
“Kami mengetuk suara hati mereka yang membunuh termasuk mereka yang tidak berdaya, terutamanya mereka yang menutup wajah mereka dengan bonet, untuk berhenti mensia- siakan nyawa manusia,” Kardinal Luis Tagle dari Manila menyebut dalam satu kenyataan yang dibaca dalam sembahyang Misa Ahad di ibu negara.
“Masalah dadah haram tidak harus dikurangkan kepada isu politik atau jenayah. Ia adalah satu masalah kemanusiaan yang menjejaskan semua kita.”
Duterte, 72, melancarkan operasi luar biasa ke atas narkotik haram setelah memenangi pilihan raya presiden pada tahun lepas dengan janji untuk membunuh puluhan ribu penjenayah.
Gereja, salah satu institusi tertua dan paling berpengaruh di negara itu, adalah antara beberapa suara yang mengecam kematian yang berlaku manakala tinjauan pendapat menunjukkan Duterte masih menikmati populariti yang berleluasa.
Selama 14 bulan Duterte memegang kuasa, polis sudah mengesahkan membunuh lebih 3,500 orang – dengan menegaskan mereka bertindak untuk mempertahankan diri.
Lebih 2,000 orang lagi terbunuh dalam jenayah berkaitan dadah manakala ribuan lagi dibunuh dalam keadaan yang tidak dijelaskan, menurut data polis.
Jumlah itu menyaksikan peningkatan mendadak pada minggu ini, dan Duterte memuji anggota polis yang menembak mati 32 orang di sebuah wilayah apabila beliau menggesa agar ramai lagi dibunuh.
Ekoran seruan Duterte, sekurang- kurangnya 44 orang dibunuh di pelbagai bandar termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang maut Khamis lepas dan mencetuskan kemarahan nasional.
Saudara-mara Kian Delos Santos mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan remaja itu diheret oleh dua anggota polis dan mempertikaikan laporan polis yang menyebut remaja itu menembak mereka terlebih dahulu.
Dalam kenyataan semalam, Tagle mengumumkan acara doa sembilan hari untuk mangsa.
Duterte telah melancarkan kritikan yang hebat terhadap paderi dan uskup dalam reaksi kepada kempen Gereja untuk menghentikan pembunuhan berkenaan.