Murad Khalid jadi tumpuan media
Beliau pernah dedahkan kerugian BNM jauh lebih besar daripada laporan
PUTRAJAYA: Kehadiran bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Murad Khalid menjadi tumpuan media pada prosiding kedua Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an di Istana Kehakiman di sini semalam.
Abdul Murad yang merupakan individu ketiga memberikan keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan berkenaan dikejar dan diasak soalan oleh pihak media semasa keluar untuk ke tandas dari bilik menunggu saksi ketika menunggu giliran untuk memberikan keterangan.
Beliau turut diasak dengan pelbagai pertanyaan daripada agensi media antarabangsa termasuk ketika makan tengah hari di kafetaria Istana Kehakiman.
Namun, beliau enggan memberikan sebarang maklumat kepada pihak media sebelum memberikan keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan. Beliau yang tiba sejak jam 9 pagi hanya memberikan keterangan kira-kira dua jam apabila prosiding suruhanjaya disambung semula pada kira- kira jam 2 petang.
Sebelum Abdul Murad, suruhanjaya siasatan berkenaan mendengar keterangan daripada pesara BNM yang merupakan bekas pengurus Jabatan Akaun, Abdul Aziz Abdul Manaf manakala individu kedua yang memberikan keterangan ialah Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin yang merupakan bekas juruaudit dalaman BNM yang kini Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
Dalam satu temu bual dengan media Januari lalu, Abdul Murad mendedahkan kerugian yang dicatatkan BNM melalui kegiatan pemerdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993 adalah jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan oleh bank pusat tersebut.
Suruhanjaya Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Penubuhan suruhanjaya itu dan keanggotaan suruhanjaya mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Suruhanjaya enam anggota itu dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu. — Bernama