SME Bank anjur deklamasi sajak, Pertandingan Mencipta Pantun Semarak Kemerdekaan
KUALA LUMPUR: SME Bank, sebagai menyemai semangat cintakan tanah air dan perpaduan di kalangan warga kerja, menganjurkan acara deklamasi sajak bertajuk ‘Jiwa Hamba’ dan Pertandingan Mencipta Pantun Semarak Kemerdekaan selama dua minggu, bermula 31 Julai hingga 15 Ogos lalu.
Deklamasi sajak, yang merupakan hasil nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang disampaikan oleh Qistina Rahmat, yang merupakan seorang warga kerja SME Bank yang mewakili golongan tenaga kerja muda negara.
Bagi pertandingan mencipta pantun pula, sebanyak 51 penyertaan yang melibatkan 107 kakitangan SME Bank telah berkongsi baitbait pantun yang membawa makna kemerdekaan kepada mereka.
Pantun mereka ini telah diabadikan dalam bingkai gergasi yang dipamerkan di ruang lobi Menara SME Bank dan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,200 juga disediakan kepada para pemenang.
Selain itu, beberapa aktiviti lain juga telah diadakan bagi memeriahkan majlis sambutan Hari Kebangsaan seperti pertandingan ‘Best Merdeka Stall’ dan juga pertandingan ‘Best Merdeka Costume’.
Untuk pertandingan ‘Best Merdeka Stall’, setiap bahagian dikehendaki membuka gerai makanan dan minuman serta menghias gerai mereka dengan cara yang paling kreatif mengikut tema Hari Kebangsaan.
Ketua Pegawai Operasi, Pengurusan Korporat & Operasi, Kumpulan SME Bank Datuk Razman Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata: “Hasil kesepakatan semua pihak dalam membangunkan Malaysia telah membawa kepada kemakmuran negara dan kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat Malaysia.
Maka, kita harus terus menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi manfaat kita bersama pada masa ini dan juga masa depan.”
Sambutan Hari Kebangsaan SME Bank juga dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan bagi merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Sejak penubuhannya pada 2005 sehingga Jun 2017, SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM27 bilion kepada lebih 15,740 pelanggan.
Komitmen SME Bank dalam membantu usahawan PKS untuk terus maju dan berdaya saing juga telah diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila menjadi Institusi Kewangan Pembangunan pertama di Malaysia dan di rantau ASEAN diterima menjadi ahli ‘The Montreal Group’ atau secara ringkasnya TMG.
TMG adalah forum eksklusif global untuk bank pembangunan milik kerajaan yang memberi fokus dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana.