Pelajar MSU siapkan Logo Merdeka Ke60 Menggunakan Seni Benang Terbesar
SHAH ALAM: Seramai 150 pelajar Management & Science University (MSU) yang menyahut cabaran menyiapkan Logo Merdeka Ke-60 Menggunakan Seni Benang Terbesar dalam tempoh sehari, menjalani pengalaman mengujakan serta berbaloi untuk ditempuhi.
Program itu dianjurkankan oleh Kelab Seni Kreatif, dengan kerjasama Jabatan Sains Media dan Grafik, Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraaan dan melibatkan kerjasama pelajar daripada pelbagai bidang pengajian seperti Multimedia, Reka Bentuk Grafik, Reka Bentuk Permainan dan Animasi serta Fotografi dan Video Kreatif.
Selain bermatlamat menyemarakkan semangat Hari Kemerdekaan Ke-60 Malaysia yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa, program bermula jam 9 pagi dan berakhir 6 petang itu turut bertujuan memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar terlibat terutama dalam aspek kreativiti, kerjasama, komunikasi dan lain-lain.
Ia turut berperanan memperkasakan budaya kecemerlangan para peserta, seterusnya melahirkan pelajar yang kompeten dan holistik.
Sementara itu, dalam usaha menghayati dan menghargai erti kemerdekaan, Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan, melalui Jabatan Sains Media dan Grafik menjalankan program ‘United People of Malaysia 2.0: Creative Merdeka Celebration Exhibition & Competition’.
Program yang melibatkan pertandingan dan pameran itu telah menyaksikan penyertaan kira-kira 260 pelajar MSU daripada pelbagai program pengajian.
Mereka terdiri daripada pelajar program Asas Seni Visual, Diploma Multimedia, Diploma Reka Bentuk Grafik, Diploma Reka Bentuk Permainan dan Animasi, Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik, Sarjana Muda Video dan Fotografi Kreatif dan Sarjana Muda Multimedia Kreatif.
Ia juga sebahagian daripada pendekatan pembelajaran kreatif yang diterapkan dalam kalangan pelajar MSU bagi subjek-subjek seperti Teori Warna, Reka Bentuk Maklumat, Fotografi, Pengenalan Fotografi, Ilustrasi Digital dan Ilustrasi Seni Permainan
Para peserta dikehendaki menghasilkan kerja- kerja kreatif untuk dipamerkan bertemakan sambutan Kemerdekaan Ke-60 Malaysia.
Selain itu, kategori-kategori lain adalah Ilustrasi Merdeka, Lukisan ‘I Love Malaysia’ dan Komik Merdeka.
Program itu merupakan antara inisiatif yang dirancang dalam menerapkan semangat cintakan negara dalam kalangan peserta khasnya dan warga kampus amnya, bagi membolehkan mereka menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan seterusnya menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan diri.