Kualiti tanaman di CPPC setanding import
KUALITI sayur-sayuran serta buah-buahan yang dihasilkan di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Kinta Highlands dekat Ipoh setanding dengan luar negara, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata CPPC kelolaan Agroto Business (M) Sdn Bhd menepati piawaian tinggi yang ditetapkan selain menggunakan teknologi canggih tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Penggunaan teknologi pertanian moden dari Denmark dan Itali berkaitan kaedah fertigasi dan pembenihan menjadikan mutu hasil tanaman Agroto cukup berkualiti dan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian CPPC di Ipoh kelmarin. Majlis itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Antara tanaman yang dikeluarkan di Agroto termasuk kubis, timun Jepun, tomato dan ‘Green and Red Coral House’.
Menurut Zambry, penggunaan teknologi canggih di premis berkeluasan 60,000 kaki persegi itu dijangka mampu mengeluarkan hasil sehingga 200 tan metrik sehari atau 6,000 tan metrik sebulan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Secara purata, ketika ini kira-kira 50 tan metrik sayur dibawa turun dari pusat berkenaan setiap hari untuk pasaran tempatan dan eksport.
“Pada mulanya kita terpaksa mendapatkan hasil sayuran yang berkualiti tinggi seperti timun, tomato hingga berbilion ringgit, jadi dengan adanya Agroto ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap hasil pertanian yang diimport.
“Sehingga kini, terdapat banyak produk Agroto dijual dalam rangkaian pasar raya besar, outlet makanan seperti Secret Recipe, KFC dan Burger King selain dihantar ke Singapura,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata CPPC juga sesuai dijadikan model pembangunan tanah tinggi kerana ia adalah yang terbesar seumpamanya di negara ini.
Beliau turut menarik perhatian apabila berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membuka kawasan pertanian di tanah tinggi negeri ini bagi mengelak masalah pencemaran jika gagal dikawal.
“Kerajaan negeri juga mengambil maklum dan menerima nasihat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk memastikan kawasan tanah tinggi dijaga dengan baik kerana ia alam yang indah di Perak,” katanya. — Bernama