Utusan Borneo (Sarawak)

SUAMI TUMBUK, PIJAK ISTERI YANG DITUDUH CURANG

-

SIBU: Angkara prasangka, dua wanita masing-masing ditumbuk dan dipijak suami dalam dua kes berasingan di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama di Jalan Pulau di sini sekitar jam 8.30 malam kelmarin, seorang suri rumah berumur 24 tahun ditampar dan ditumbuk di muka serta ditendang di bahagian badan oleh suaminya, 23, yang sedang mabuk.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, suspek bertindak sedemikian selepas menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Katanya, insiden itu turut disaksikan mentua mangsa.

Dalam kejadian kedua, seorang wanita, 19, juga dituduh oleh suaminya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Wanita tersebut mula bertengkar dengan suaminya, juga berusia 19 tahun, di Jalan Merlin di sini sekitar jam 8 malam kelmarin.

Menurut Saiful, suami mangsa yang merupakan seorang jurukimpal dipercayai bertindak ganas apabila mangsa menafikan tuduhan tersebut sebelum merampas telefon bimbit mangsa.

Katanya, suspek cuba membawa keluar anak lelaki mereka yang berumur lima tahun.

“Apabila mangsa cuba menghalang, suspek telah menolak mangsa sehingga terjatuh. Suspek kemudian telah memijak dada mangsa beberapa kali sehingga cedera,” jelasnya.

Selepas kejadian, suspek telah balik ke kampungnya di Kapit.

Menurut Saiful, suspek kedua-dua kes tersebut telah berjaya diberkas oleh polis dan akan direman.

“Kedua-dua kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumahtangg­a,” tambah Saiful.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia