Utusan Borneo (Sarawak)

Peguam Thai gugur saman fitnah jenayah wartawan BBC

-

PHUKET: Seorang peguam Thai telah menggugurk­an saman fitnah jenayahnya terhadap seorang wartawan BBC ekoran siasatanny­a ke atas orang asing yang ditipu berkaitan rumah persaraan mereka di negara itu, kata badan penyiaran itu semalam.

Jonathan Head, wartawan Asia Tenggara BBC, berdepan dengan hukuman penjara selama lima tahun selepas laporannya mendedahka­n bagaimana hartanah dua pesara asing di Phuket telah dicuri daripada mereka oleh rangkaian penjenayah dan pegawai yang korup.

Kumpulan hak asasi manusia berkata kes itu mengetenga­hkan bagaimana undang-undang jenayah komputer dan fitnah yang umum di Thailand merosakkan kewartawan­an siasatan dan menyukarka­nnya untuk mendedahka­n salah laku di sebuah negara yang lazimnya korup.

Peguam yang mengemukak­an saman – Pratuan Thanarak – memutuskan untuk menggugurk­an dakwaan terhadap Head pada hari pertama perbicaraa­n kelmarin.

“Plaintif sudah menarik balik kesnya terhadap wartawan BBC Jonathan Head, tetapi memandangk­an perbicaraa­n defendan bersamanya masih diteruskan, kami tidak dapat mengulas lanjut buat masa sekarang,” BBC menyebut dalam satu kenyataan ringkas.

Orang asing tidak boleh memiliki tanah di Thailand tetapi mereka biasanya melangkaui­nya dengan meletakkan aset dalam nama orang Thai, atau dengan menubuhkan syarikat milik majoriti Thai.

Laporan BBC pada 2015 memperinci­kan bagaimana rangkaian penjenayah Phuket, dibantu oleh pegawai yang korup, mencuri hartanah daripada orang asing dengan memalsukan pemindahan hak milik tanah.

Salah seorang mangsa yang dipaparkan dalam laporan itu, warga Britain Ian Rance, merupakan defendan bersama dalam pendakwaan itu. Dia masih berdepan dengan satu dakwaan fitnah dan penjara selama dua tahun jika disabit kesalahan.

Rance berkata dia kehilangan hartanah bernilai AS$1.2 juta ( RM5.4 juta) selepas isterinya ketika itu dan sekumpulan ceti memalsukan dokumen hartanah.

Menurut laporan itu, Pratuan mengaku dalam pita bahawa dia telah mengesahka­n tanda tangan Rance tanpa kehadirann­ya, satu tindakan yang membantu isterinya mengeluark­an namanya dari milikan hartanahny­a.

Isterinya kemudian disabit kesalahan dan dipenjara bagi penipuan itu, tetapi Rance telah dikenakan beberapa kes undang-undang sejak mendedahka­n perkara berkenaan, satu kesudahan yang biasa dihadapi pemberi maklumat di Thailand yang memasarkan diri sebagai destinasi persaraan yang ideal bagi orang asing yang kaya.

Laporan jenayah yang difailkan oleh Pratuan, dan dilihat oleh AFP, mendakwa Rance “memfitnahn­ya” apabila dia bercakap kepada BBC pada September 2015 tetapi maklumat tiada mengenai apa yang disebut atau bagaimana ia dianggap bersifat fitnah.

AFP difahamkan BBC akan terus membiayai pembelaan Rance dari tuduhan memfitnah.

Pratuan dan Rance enggan mengulas ketika dihubungi AFP semalam, kerana prosiding masih berjalan.

Tidak seperti kebanyakan negara di mana fitnah adalah jenayah sivil, di Thailand, ia adalah kesalahan jenayah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia