Utusan Borneo (Sarawak)

Mengenali kebebe, juadah santai

- Oleh Nurul Halawati Mohd Azhari

SELEPAS menunggu hampir 15 minit di hadapan lesung kayu diperbuat daripada batang pokok nangka itu, sebekas kecil kebebe dihulurkan kepada penulis.

“Rasalah,” sua Tayibah Ismail, 63, dari Kampung Teluk Batu.

Wajahnya ceria menghulurk­an bekas berisi kebebe yang masih baru ditumbuk itu.

Sesudu kecil dirasa — ada rasa masam, manis, masin, kelat dan pedas, sehingga kecur air liur.

“Macam mana,” tanya Tayibah tersenyum sumbing sambil menunggu komen penulis.

“Sedap. Macam rojak buah pun ada. Semua rasa ada.”

Tayibah dan rakanrakan­nya yang ditemui penulis di Karnival Lenggong 2017 bersempena sambutan Ulang Tahun Kelima Tapak Warisan Dunia Unesco itu tersenyum puas hati.

Pada penulis, kebebe sesuai untuk tekak mereka yang suka ‘mencicah’ dan sesuai juga untuk dijadikan pembuka selera.

Bunyinya macam pelik tapi hidangan kebebe adalah makanan tradisi popular bagi masyarakat Melayu yang berasal dari keturunan Patani di Lenggong, Perak.

Menurut Tayibah, bahanbahan untuk membuat kebebe atau ada juga yang menyebutny­a sebagai ‘bicuk’ adalah bahan yang boleh didapati di sekitar kawasan rumah.

Ia sering dijadikan makanan kudapkudap dalam majlis gotong-royong sewaktu mereka beramai-ramai menumbuk kerisik.

Segala putik (buah muda) buah hutan dimasukkan ke dalam lesung kayu yang melekat dengan sisa kerisik bagi menghilang­kan kesan minyak dan bau kelapa goreng yang telah ditumbuk itu.

Khabarnya, sambil menumbuk mereka bersembang-sembang sambil membebel.

Dari situlah mengikut loghat tempatan (Melayu Patani), lahirnya perkataan kebebe.

Kemudian setelah selesai, kebebe akan dimakan beramai-ramai.

Hidangan sajian “kebebe’ mempunyai persamaan hidangan ‘rojak’ buah dan mempunyai kualiti kulinari hidangan makanan ‘som tam’ yang berasal dari Thailand.

Bezanya bahanbahan yang digunakan adalah buah-buah kampung dan hutan yang tidak perlu dibeli.

Ia sejenis makanan tradisi yang masih disajikan sebagai hidangan asas dan hidangan pada majlis keramaian masyarakat kampung sekitar daerah Lenggong, Hulu Perak. CARA MEMBUATNYA

Menurut Tayibah, ada 13-14 ramuan yang digunakan iaitu kulit putik nangka, putik jambu batu kampung, jantung pisang, nanas, belimbing buluh, cermai, memban kelapa (isi kelapa yang masih lembut), buah kelempung, buah cedung (Ficus racemosa), cili burung serta gula, garam dan belacan sebagai penambah perisa.

“Kulit putik nangka diambil kulitnya dan dipotong kecil-kecil supaya mudah ditumbuk.

“Kena masukkan bahan sedikit demi sedikit dan masukkan yang keras dahulu.

“Kulit putik nangka, jambu batu, jantung pisang, buah cedung, buah kelempong dan jantung pisang memberi rasa kelat pada kebebe.

“Belimbing buluh, cermai dan nanas pula memberi rasa masam dan manis.

“Rasa pedas itu pula daripada cili burung.

“Memang tak ada sukatan, tapi bolehlah letak ikut lidah kita, suka pedas atau kurang pedas.

“Selepas itu, kenalah letak belacan, gula dan garam, barulah naik rasa pada kebebe yang ditumbuk itu,” jelas Tayibah mengenai cara-cara menghasilk­an kudapan masa santai yang sudah dipelajari­nya ketika beliau masih kanak-kanak dahulu.

Cara penyediaan­nya haruslah ditumbuk hingga separa lumat, lebih enak jika ditumbuk dengan lesung kayu.

Itulah keunikan dan cara lama yang masih cuba dikekalkan oleh para penggemar kebebe di Lenggong terutamany­a sebagai daya tarikan pelancong.

Ekoran keunikanny­a, satu kajian mengenai kebebe turut dijalankan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN).

Kajian berjudul ‘Kebebe: Kulinari Makanan Tradisison­al Lenggong, Perak’ itu mendapati ramuan ‘kekebe’ banyak dipengaruh­i penggunaan bahan-bahan tumbuhan tempatan.

Ia tumbuh-tumbuhan alam yang hidup subur dan mudah didapati di sekitar kampungkam­pung di daerah itu.

Selain digunakan sebagai ramuan ‘kebebe’, hasil-hasil alam semula jadi itu turut dijadikan ulam hidangan makanan bersama keluarga mahupun pada majlismajl­is tertentu.

Ia mengandung­i khasiat dan mineral yang tinggi.

Kulit putik buah nangka misalnya mengandung­i zat tenaga, air, protein, lemak, karbohidra­t, gentian, kalsium, fosforus, besi, vitamin B1, B3 dan vitamin C.

Manakala kandungan buah nanas sangat kaya dengan vitamin A dan C, serta mengandung­i bahan kalsium, kalium, fosfor, zat besi, gula buah (sukrosa) dan serat untuk kesihatan badan.

Maka ia menjawab persoalan penulis apabila Tayibah mengatakan kebebe selalu dijadikan makanan untuk membuka selera orang yang demam atau tidak mempunyai selera makan selepas baru pulih daripada sakit.

Ia satu hidangan ringkas tanpa bahan pengawet yang kaya dengan serat dan pelbagai khasiat lain. ERAT SILATURAHI­M

Pada tahun 2011, daerah Lenggong telah menganjurk­an satu Pesta Makanan Lenggong yang mendapat liputan luar biasa.

Sembilan kampung di daerah berkenaan telah bekerjasam­a menghasilk­an pelbagai hidangan tradisiona­l Lenggong yang kurang dikenali.

Setiap satu kampung memilih satu atau dua hidangan untuk disediakan pada pesta itu.

Ia dijamu serta dijual kepada para pengunjung dan pelancong yang hadir ke situ.

Antaranya yang popular ialah rendang besamah, rendang dendeng, kebebe, pekasam ikan, gulai kemahang, pindang, kerabu buah beka, belotok, kerabu umbut tepus gajah dan bubur anak lebah.

Menurut Ketua Kampung Teluk Batu, Abdul Aziz Sharil, 63, beliau dan JKK kampungnya memilih kebebe sebagai hidangan pilihan.

Jika kaum wanita ditugaskan untuk membuatnya, kaum lelaki pula ditugaskan mencari bahan-bahannya.

“Yang payah sikit nak dapat buah cermai dengan buah cedung.

“Buah cermai kalau dulu-dulu memang banyak, tapi sekarang ini payah nak dapat.

“Buah cedung pun sama sebab ia pokok hutan yang tumbuh liar tepi-tepi sungai.

“Buahnya pulak tumbuh di akar pokok yang berada di dalam sungai,” cerita Abdul Aziz.

Sejak itu, jika ada keramaian yang melibatkan makanan tradisi, setiap kampung yang terlibat, masingmasi­ng sudah tahu kepakaran kampung mereka mengikut jenis makanan.

Malah menurut Abdul Aziz, Kebebe Kampung Teluk Batu juga sering mendapat tempahan untuk majlis-majlis seperti kenduri kahwin.

Walaupun dijual pada harga RM2-RM3 sebekas, sedikit sebanyak ia dapat menambah pendapatan dan mengeratka­n silaturahi­m sesama masyarakat kampung.

Ini kerana ia ditumbuk beramai-ramai dan ada kalanya melibatkan sehingga 15 orang dengan enam biji lesung kayu yang sebesar saiz orang dewasa bersila.

Sajian kebebe hanyalah secebis kecil daripada kepelbagai­an pelanconga­n di Lenggong.

Hakikatnya, sebagai sebuah mukim yang kaya dengan bahan arkeologi zaman Poleotik, lembah Lenggong bukan sahaja terkenal sebagai pusat penghijrah­an manusia awal ke sini.

Malah adalah kawasan mukim yang dapat membentuk aspek identiti orang Melayu Islam Patani yang menetap di daerah itu.

Signifikas­i penghijrah­an masyarakat orang Melayu Islam Patani dari selatan Thailand ke Lembah Lenggong yang kaya dengan sumber hasil hutan telah mewujudkan asimilasi, tindak balas dan kesannya dalam melalui pembudayaa­n makanan tradisiona­l di Malaysia.

Daerah yang dahulunya sepi dan kurang dikenali, kini terpahat di peta dunia sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia Unesco menerusi Warisan Arkeologi Lembah Lenggong pada 2 Julai, 2012. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? JUADAH TRADISI: Terdapat 13 hingga 14 ramuan yang digunakan iaitu kulit putik nangka, putik jambu batu kampung, jantung pisang, nanas, belimbing buluh, cermai, memban kelapa, buah kelempung, buah cedung, cili burung serta gula, garam dan belacan sebagai penambah perisa. Kesemua bahan yang telah ditumbuk separa halus itu mempunyai rasa masam, manis, masin, kelat dan pedas.
— Gambar Bernama JUADAH TRADISI: Terdapat 13 hingga 14 ramuan yang digunakan iaitu kulit putik nangka, putik jambu batu kampung, jantung pisang, nanas, belimbing buluh, cermai, memban kelapa, buah kelempung, buah cedung, cili burung serta gula, garam dan belacan sebagai penambah perisa. Kesemua bahan yang telah ditumbuk separa halus itu mempunyai rasa masam, manis, masin, kelat dan pedas.
 ?? — Gambar Bernama ?? CUKUP ENAK: Tayibah Ismail, 63 dari Kampung Teluk Batu, Lenggong menunjukka­n sajian kebebe yang telah siap ditumbuk.
— Gambar Bernama CUKUP ENAK: Tayibah Ismail, 63 dari Kampung Teluk Batu, Lenggong menunjukka­n sajian kebebe yang telah siap ditumbuk.
 ?? — Gambar Bernama ?? KERJASAMA: Rosnah Mat Saman (kanan) menumbuk bahan-bahan membuat kebebe sambil dibantu adiknya Rohana.
— Gambar Bernama KERJASAMA: Rosnah Mat Saman (kanan) menumbuk bahan-bahan membuat kebebe sambil dibantu adiknya Rohana.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia