PBSM perlu kukuh perpaduan, kerjasama agar terus relevan, kata Antonio
MIRI: Persatuan Bisaya Sarawak Miri (PBSM) digesa terus mengukuhkan perpaduan dan kerjasama bagi memastikan persatuan itu terus relevan.
Presiden PBSM Antonio Kahti Galis berkata sejak ditubuhkan lebih 20 tahun lalu PBSM berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara, sama ada di Miri mahupun peringkat negeri.
Antara aktiviti diadakan ialah malam kebudayaan, Pesta Babulang dan bengkel pendidikan untuk anak-anak Bisaya.
“Dalam tempoh lebih dua dekad, PBSM terus mengorak langkah ke hadapan dan memanfaatkan kira-kira 300 ahli.
“Saya berharap ahli-ahli PBSM terus mengekalkan kerjasama dan saling bantubantu kalangan mereka,” katanya pada majlis makan malam kesyukuran di Kelab Gymkhana Miri (KGM) malam kelmarin.
Majlis kesyukuran itu dianjurkan PBSM sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan Antonio sebagai pengerusi semasa di Miri se- belum berpindah ke Kuching April lalu.
Antonio yang juga Presiden Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) berkata, PBSM juga memainkan peranan penting menganjurkan beberapa acara besar seperti Pesta Babulang di Batu Danau, Limbang.
“Saya berharap ahli-ahli tanpa mengira cawangan terus bekerjasama membangunkan persatuan dan pada masa sama membantu kaum kita terus maju,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, bangunan ibu pejabat PBS kini sudah siap dan menunggu surat menduduki (OP) untuk dibuka tahun ini.
Manakala Pusat Kebudayaan Bisaya di Batu Danau yang menjadi identiti kaum Bisaya di negeri ini hampir siap dan dijangka dibuka tahun hadapan.
Hadir sama Naib Presiden Persatuan Bisaya Sarawak merangkap Naib Presiden PBSM Latip Sapong, mantan presiden protem PBSM Edward Guatee dan Ketua Masyarakat Orang Ulu, Temenggung Elizabeth Deng.