Lebih banyak peluang untuk belajar tentang keselamatan siber
MINGGU lalu, usaha membangunkan pendidikan di negeri ini mendapat berita memberangsangkan apabila Ketua Menteri YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg mengumumkan Kerajaan Negeri akan meningkatkan pembiayaannya kepada Yayasan Sarawak – dari RM9 juta ke RM300 juta setahun.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM100 juta adalah untuk pinjaman pelajaran dan biasiswa bagi golongan belia Sarawak, untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran dan kelayakan yang sesuai, terutamanya untuk keperluan ekonomi digital.
Salah satu bidang kajian yang diketengahkan oleh Ketua Menteri – keselamatan siber – akan menjadi amat penting bagi ekonomi digital Sarawak, justeru pelajar yang layak akan ditawarkan biasiswa untuk kursus tersebut.
Keselamatan siber telah digambarkan sebagai salah satu inti penting bagi Ekonomi Digital Sarawak di samping Big Data.
Itulah sebabnya Ketua Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa pengetahuan dan bakat yang diperlukan untuk memastikan keselamatan siber ketat di Sarawak akan bermakna menggalakkan lebih banyak usaha dalam membangunkan keselamatan siber sebagai sebuah industri di negeri ini.
Bagi anda yang teruja menjadi sebahagian daripada Ekonomi Digital Sarawak, ini bermakna terdapat bidang baharu – keselamatan siber – yang boleh anda pelajari untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran anda.
Lebih banyak institusi pengajian tinggi kini juga telah digesa untuk memperkenalkan kursus baharu seperti keselamatan siber, selaras dengan fokus Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekonomi digital Sarawak.
Tentang perkara ini, Ketua Menteri telah menjelaskan: “Institusi pengajian tinggi perlu memperkenalkan kursus baharu selaras dengan usaha kita untuk bergerak ke arah ekonomi digital di mana kita juga bersedia untuk Revolusi Perindustrian 4.0.”
Jika dahulu kerjaya dalam keselamatan siber biasanya melibatkan pekerjaan dalam agensi kerajaan, pada masa kini sektor seperti industri kewangan, industri kesihatan dan industri runcit menawarkan kedudukan penting untuk pakar keselamatan siber bagi melindungi maklumat mereka.
Beberapa jawatan yang tersedia dalam keselamatan siber termasuk penganalisis keselamatan, pentadbir keselamatan, pemaju perisian keselamatan dan perunding keselamatan.
Terdapat juga pekerjaan dalam keselamatan siber untuk cryptographers (yang membangunkan algoritma, sifer dan sistem keselamatan untuk menyulitkan maklumat sensitif) dan cryptanalysts (yang menganalisa dan menyahsulitkan maklumat tersembunyi dalam sistem keselamatan cryptographic).
Terdapat kajian menunjukkan bahawa permintaan terhadap profesional dalam bidang keselamatan siber kian berkembang dan dalam sesetengah kes, terutamanya di negara maju, pendapatan mereka juga lebih tinggi berbanding pekerjaan lain dalam sektor ICT.
Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak. Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.