Taufan Tropika Lidia membadai pusat peranginan Los Cabos
LA PAZ: Taufan Tropika Lidia membadai pusat peranginan Los Cabos yang mewah kelmarin, membawa hujan lebat ke kawasan yang luas di negara itu dan mendorong pegawai untuk memindahkan penduduk.
Lidia terbentuk Rabu lepas di Lautan Pasifik dan sudah menyebabkan kemusnahan di sepanjang pantai selain hujan di pedalaman sejauh Kota Mexico sebelum ia melanda daratan pada malam kelmarin di hujung selatan semenanjung Baja California.
Pantai air hijau kebirubiruan yang asli di kawasan itu menempatkan genting pusat peranginan mewah yang dikenali sebagai Los Cabos, yang menarik lebih sejuta pelancong setiap tahun.
Sekitar 0000 GMT, taufan itu berada 40 kilometer ke barat daya pusat peranginan Cabo San Lucas – yang disukai ramai pelancong Amerika dan Kanada – dan bergerak pada kelajuan 13 kilometer sejam (ksj) dengan ribut selaju 100 ksj menurut Jabatan Meteorologi Negara.
Tentera laut mengerahkan kelasi dan kenderaan ke semenanjung itu untuk menjalankan evakuasi, manakala pihak berkuasa di negeri Baja California Sur menutup tiga lapangan terbang antarabangsanya.
Kira-kira 1,000 orang mencari perlindungan di pusat yang disediakan di ibu negeri La Paz dan 3,000 lagi di Los Cabos.
Di Kota Mexico, hujan lebat yang disebabkan oleh Lidia mencetuskan keruntu- han besar di satu lebuh tengah kelmarin, yang meninggalkan lubang besar sekurangkurangnya seluas 10 meter dan sedalam tujuh meter hanya beberapa langkah sahaja dari salah satu jalan besar utama di bandar raya tersebut, Paseo de la Reforma.
Pada malam Khamis lepas, lapangan terbang antarabangsa di ibu negara membatalkan 18 penerbangan dan melencong 40 pesawat yang tiba – termasuk sebuah yang membawa pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai, yang dalam perjalanan untuk menyampaikan satu ucapan tetapi mendapati diri dilencongkan seketika ke Cancun, kira-kira 1,600 kilometer dari Kota Mexico.
Ketua suruhanjaya air negara, Roberto Ramirez de la Parra, memberi amaran tentang hujan lebat di tujuh negeri barat yang menjangkau lebih daripada setengah kawasan Mexico, dan ombak setinggi enam meter di perairan pantai Baja California dan Sinaloa. — AFP