Kuala Perlis pilihan sindiket seludup hidupan liar
Terletak kira-kira 40km dari sempadan Padang Besar, laluan yang terdekat dari Indonesia ke Thailand
BANGKOK: Berikutan lokasinya yang strategik, bandar Kuala Perlis telah menarik perhatian sindiket penyeludupan hidupan liar untuk menggunakan bandar sunyi di tepi pantai itu sebagai laluan untuk menyeludup pelbagai haiwan eksotik ke China.
Ditangkap di hutan-hutan di Indonesia, haiwan eksotik berkenaan termasuk tenggiling, malah orang utan terpaksa mengharungi perjalanan sukar menyeberangi lautan untuk dibawa ke Kuala Perlis, Padang Besar, Hatyai dan Laos sebelum sampai ke destinasi utama, China.
“Sindiket memilih laluan Padang Besar kerana ia laluan terdekat dari Indonesia ke Thailand.
Mereka ( penyeludup hidupan liar) menggunakan bot dari Indonesia ke pelabuhan Kuala Perlis di Malaysia dan kemudiannya ke Thailand.
“(Kuala Perlis) hanya terletak kira-kira 40km dari sempadan Padang Besar,” kata Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kastam Padang Besar Arthit Visuttismajarn kepada Bernama baru-baru ini mengenai faktor kedekatan di antara Kuala Perlis ke sempadan Thailand-Malaysia.
Menurutnya, Kuala Perlis-
Mereka (penyeludup hidupan liar) menggunakan bot dari Indonesia ke pelabuhan Kuala Perlis di Malaysia dan kemudiannya ke Thailand. Arthit Visuttismajarn Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kastam Padang Besar
Padang Besar hanya merupakan satu daripada banyak laluan digunakan sindiket penyeludupan untuk membawa ‘barangan’ mereka ke China, bagi memenuhi peningkatan permintaan di negara itu bagi haiwan eksotik.
Menurutnya, sekiranya penyeludup berjaya melepasi sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, haiwan eksotik itu akan diserahkan kepada anggota sindiket di Hatyai, yang akan membawanya ke sempadan Thailand-Laos dan seterusnya ke China.
Hatyai merupakan laluan transit penting bagi sindiket penyeludupan hidupan liar. Pegawai kastam Thailand telah mengenal pasti kirakira 11 ‘kawasan berisiko’ di sepanjang 12km di sempadan Thailand- Malaysia yang memisahkan Perlis dan daerah Sadao, Songkla, yang digunakan penyeludup hidupan liar dan telah meningkatkan pengawasan.
Arthit berkata pada 7 Jun tahun ini, anggotanya berjaya memintas penyeludupan spesies penyu yang diancam kepupusan dan batu karang jarang ditemui di sempadan.
Tetapi rampasan terbesar hidupan liar eksotik pada tahun ini adalah pada 21 Julai di Pusat Pemeriksaan Imigresen di Padang Besar apabila mereka berjaya menahan sebuah trak pikap berdaftar di Malaysia yang membawa pelbagai haiwan diancam kepupusan termasuk sepasang orang utan berumur dua bulan yang disembunyikan dalam beg pakaian.
Haiwan eksotik lain yang dirampas daripada trak itu ialah kura-kura spesies Hamilton dan Indian Star serta enam ekor rakun, katanya dan menurutnya pemandu kenderaan itu warga Malaysia berumur 63 tahun turut ditahan untuk siasatan.
Jika sabit kesalahan, lelaki warga Malaysia itu berdepan hukuman penjara 10 tahun dan menurut Arthit, lelaki itu mendakwa dia dibayar untuk menghantar haiwan berkenaan kepada seorang lelaki di Hatyai.
Sementara pada 31 Ogos di provinsi Prachuab Khiri Khan, Kastam Thailand merampas 136 ekor tenggiling dan 450kg sisik haiwan itu yang didakwa berasal dari Indonesia dan diseludup masuk ke Thailand melalui Malaysia.
Sisik haiwan dilindungi itu digunakan bagi perubatan tradisional Cina dan untuk dihantar ke China, menurut pegawai kastam.
Menurut Arthit, Kastam Padang Besar berjaya merampas lebih 500 ekor tenggiling di pusat pemeriksaan sempadan itu dalam tempoh beberapa tahun lepas.
Kebanyakan tenggiling itu, katanya adalah dari Indonesia dengan Thailand dijadikan ‘pusat transit’ oleh sindiket sebelum dibawa ke utara untuk dihantar ke China. — Bernama