Jangan abai penyokong PBS di Karanaan, Paginatan: Maximus
RANAU: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini diminta agar tidak mengabaikan penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS).
Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, PBS mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi di kedua-dua DUN Karanaan dan Paginatan walaupun ia diwakili oleh parti komponen BN yang lain.
“Saya menyifatkan bahawa sokongan PBS di sini adalah sebagai aset kepada kedua-dua DUN di sini.
“Oleh itu, ahli PBS di sini tidak boleh diabaikan untuk memastikan kedua-dua Kerusi itu kekal milik BN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Paginatan dan Karanaan di sini pada Sabtu.
Beliau juga menyeru kepada semua pemimpin PBS dan ahlinya untuk bekerja keras mempertahankan perjuangan parti itu dan jalinkan kerjasama harmoni dengan komponen BN yang lain.
“Jangan terpengaruh dengan propaganda yang disebarkan oleh parti pembangkang kerana mereka sentiasa mencari akal memburukkan kerajaan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap ADUN Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam, Ketua PBS Paginatan Datuk Dr Othman Minudin dan Ketua PBS Karanaan Danis Buik.
Maximus berkata, BN bukanlah sempurna tetapi lebih baik daripada mana-mana pakatan pembangkang yang ada sekarang.
“Saya yakin dengan sokongan dan kesatuan daripada ahli PBS, kita pasti mampu berhadapan semua cabaran yang bakal dihadapi,” katanya.