LELAKI WARGA EMAS MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG 4WD
SIBU: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Sibu-Bintangor petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Philip John Karim, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 3 petang.
Semasa kejadian, pemandu 4WD, 37, dikatakan sedang bergerak ke arah Jalan Paradom menghala ke pusat bandar bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Siasatan awal polis trafik mendapati motosikal terbabit dipercayai memasuki lorong bertentangan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Di BINTULU, seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai memasuki laluan bertentangan dan dirempuh sebuah lori di Batu 36 Jalan Bintulu-Miri semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak DSP Bingkok John berkata kemalangan berlaku apabila mangsa Bacha Rahman berasal dari Pakistan dipercayai gagal mengawal motosikal sehingga memasuki laluan bertentangan sekitar jam 2.20 petang.
Ekoran itu, sebuah lori yang dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah bandar Bintulu tidak sempat mengelak lalu merempuhnya sehingga menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa kerana gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki laluan bertentangan dan dirempuh sebuah lori yang datang dari arah hadapan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Bingkok dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan telah dijalankan di tempat kejadian sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.
“Pemandu lori berusia 34 tahun dan berasal dari Bintangor dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes tersebut kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.