Pesawat Japan Airlines ke NY dilanggar burung
TOKYO: Sebuah pesawat Japan Airlines dalam penerbangan ke New York membuat pendaratan kecemasan di sebuah lapangan terbang di Tokyo semalam disebabkan oleh masalah enjin yang kelihatan berpunca daripada serangan burung, menurut syarikat.
Boeing 777 itu membawa 233 penumpang dan 15 anak kapal ketika berlepas dari lapangan terbang Haneda di Tokyo pada jam 11 pagi waktu tempatan namun kembali untuk mendarat sejam kemudian.
Rakaman yang ditunjukkan badan penyiaran awam NHK menunjukkan pesawat mendarat dengan selamat di lapangan terbang.
“Didapati seekor burung terperangkap dalam enjin kiri ketika pesawat berlepas,” kata jurucakap JAL.
“Pesawat mengeluarkan minyak ketika berada di ruang udara bagi mengurangkan berat sebelum mendarat,” menurut beliau.
Pegawai kementerian tanah menyatakan bahawa padang berumput bersebelahan salah satu empat buah laluan terbakar seketika selepas jet JAL itu berlepas namun ia kemudian dipadamkan.
“Kami telah menutup laluan ini kerana mungkin beberapa bahagian jatuh dari pesawat tersebut,” kata beliau.
Tiada maklumat segera bagi sebarang kerosakan yang dialami pesawat atau kecederaan terhadap penumpang atau kru serta tiada penangguhan utama berpunca daripada insiden tersebut.
Haneda yang secara rasminya dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo, merupakan lapangan terbang kelima paling sibuk di dunia dengan lebih 75 juta penumpang setiap tahun, menurut Airports Council International. — AFP