Pertandingan fotografi: Wang tunai RM8,000 untuk dimenangi
KUCHING: Ada gambar menarik yang menceritakan tentang keunikan kepelbagaian etnik dan budaya dalam sesebuah keluarga?
Mungkin gambar itu bakal memenangi Pertandingan Fotografi dan Cerita Pendek bertema ‘We Sarawakian & My Colourful Happy Family’.
Anjuran Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak dan Pejabat Setiausaha Politik, ia diadakan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Hadiah lumayan menanti iaitu tempat pertama RM3,500, penginapan satu malam di Damai Beach Resort, seunit kamera, plak dan barangan lain.
Tempat kedua RM2,500, seunit kamera, plak dan barangan lain, tempat ketiga RM2,000, seunit kamera, plak dan barangan lain manakala tempat keempat dan kelima akan menerima plak.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol pada sidang media mengumumkannya berkata pertandingan itu adalah tentang keistimewaan sesebuah keluarga di Sarawak.
Hadir sama Pengerusi BNBBC Sarawak Paulus Palu Gumbang dan Timbalannya Aidel Lariwoo.
“Banyak keluarga di Sarawak yang mampu menerima, mengadaptasikan, bertoleransi dan mempamerkan perasaan hormat menghormati, saling memahami dan keunikan perpaduan meskipun ber- beza kaum dan agama menerusi perkahwinan campur,” katanya semalam.
Sarawak dikenali dengan kekuatan perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaum dan agama, yang menjadi kebanggaan sejak sekian lama.
Pertandingan ini bertujuan menggalak dan mengukuhkan perpaduan, toleransi dan rasa hormat menghormati terutama di Sarawak.
“Dalam bergerak ke hadapan dan mengejar pelbagai pembangunan di Sarawak, perkara berkaitan hubungan kemanusiaan tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Pertandingan ini dibuka kepada warga Sarawak yang menetap dalam Malaysia tanpa mengira umur.
Peserta dikehendaki menghantar dua gambar berwarna berserta cerita pendek tidak lebih 150 perkataan yang menggambarkan ciri-ciri unik dan kepelbagaian dalam keluarga tersebut.
Penyertaan berserta nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan dua perujuk yang tidak ada hubungan kekeluargaan dengan peserta hendaklah di-emel kepada swkpolsecoff@gmail.com.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada jam 6 petang, 16 September 2017.
Keputusan akan diketahui pada 23 September.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Fifi di talian 019-3862681 atau Hazel 0198348678.