UNIMAS berjaya lahir modal insan berkualiti: Nanta
Dibuktikan dengan peningkatan jumlah pelajar asing ikuti pengajian di UNIMAS
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) antara universiti awam di rantau ini diperakui kejayaannya melahirkan modal insan berkualiti.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Menteri Mentor UNIMAS Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia dibuktikan dengan peningkatan jumlah pelajar luar negara mengikuti pengajian di universiti berkenaan dari setahun ke setahun.
“Saya berpendapat antara kayu pengukur kejayaan sesebuah universiti ialah peningkatan jumlah pelajar luar negara…UNIMAS di tangga ke-250 daripada lebih 2,000 universiti di rantau Asia.
“Syabas kepada UNIMAS kerana saya diberitahu bahawa pengambilan pelajar kali ini melibatkan bukan sahaja pelajar dari Malaysia tetapi beberapa negara luar seperti Australia, Indonesia, Brunei, Yaman, Mesir, Sudan dan Maghribi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ikrar Pelajar
Saya berpendapat antara kayu pengukur kejayaan sesebuah universiti ialah peningkatan jumlah pelajar luar negara…UNIMAS di tangga ke-250 daripada lebih 2,000 universiti di rantau Asia.
UNIMAS ambilan September Sesi 2017/ 2018 di Arena Gemilang, DeTAR Putra UNIMAS di sini semalam.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit, percaya slogan UNIMAS iaitu ‘ Kontemporari dan Berpandangan Jauh’ mampu membimbing pelajarnya menjadi insan yang berjaya.
“Saya percaya slogan ini harus difahami oleh setiap pelajar, kontemporari maksudnya kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu terkini dan ‘berpandangan jauh’ pula mahukan kita berpandangan ke hadapan lebih-lebih dalam dunia yang dinamik hari ini,” katanya.
Beliau menambah, dalam dunia digital hari ini kecekapan individu tidak lagi dikira dalam jam tetapi minit, segalanya dilakukan serba pantas.
“Oleh itu saya mahu mengingatkan setiap pelajar terutama yang berada di dalam dewan ini, melengkapkan diri dengan ilmu sepatutnya untuk kekal relevan dengan peredaran masa.
“Di sinilah tapak untuk belajar semula bermula dalam melakar perjalanan seterusnya selaku warga UNIMAS.
“Kecemerlangan mesti diukur bukan sahaja atas kemajuan diri sendiri tetapi sejauh mana kecemerlangan dapat dikecapi oleh semua di sekeliling kita,” ujarnya.