Korea Selatan, Arab Saudi ke Rusia, Syria akan beraksi pada perlawanan playoff terakhir
TEHRAN, Iran: Gol penyamaan minit kecederaan oleh Omar Al-Soma membantu pasukan Syria, yang dicengkam peperangan, ke perlawanan playoff kelayakan terakhir Zon Asia ketika Korea Selatan dan Arab Saudi mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2018 di Rusia.
Syria ketinggalan 1-2 ketika menentang Iran dan bakal tersingkir dari saingan sebelum rembatan Al Soma melepasi celah kaki penjaga gol Alireza Salimi pada minit ketiga masa kecederaan, membangkitkan kegembiraan penonton.
Keputusan seri 2- 2 itu bermakna Syria, yang tidak diletakkan sebagai pilihan ketika perang saudara meletus di tanahairnya, akan bertemu dengan Australia untuk perlawanan timbal-balik dengan pemenang akan bermain satu lagi playoff kelayakan menentang pasukan dari benua lain.
Pada malam terakhir kempen kelayakan terakhir Zon Asia, Korea Selatan seri tanpa jaringan dengan Uzbekistan untuk melangkah ke Piala Dunia buat kali kesembilan berturut- turut sementara Arab Saudi mengesahkan tiket selepas menewaskan Jepun 1-0.
Fahad Al Muwallad menjaringkan gol kemenangan Arab Saudi di Jeddah untuk penampilan kelima mereka di Piala Dunia, di mana mereka merampas slot kelayakan automatik kedua dalam Kumpulan B dari Australia, yang terpaksa akur beraksi dalam perlawanan playoff menentang pasukan di tangga ketiga Kumpulan A.
Korea Selatan, Arab Saudi dan dua pasukan yang sudah layak sebelum perlawanan minggu ini (Jepun dan Iran), berharap untuk memperbaiki pencapaian Asia yang hambar di Piala Dunia 2014 dengan tiada pasukan dari rantau Asia yang melangkah ke pusingan kedua kejohanan.
Korea Selatan mensiasiakan beberapa peluang lewat sebelum akhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Uzbekistan dan menduduki tangga kedua Kumpulan A.
Kejayaan Syria juga memadam impian tipis China untuk melangkah ke Piala Dunia yang kedua mereka walaupun menewaskan pasukan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar, 2-1 menerusi gol kemenangan lewat Wu Lei. — AFP