Berbilang bangsa gembira raikan sambutan Hari Jadi Ke-81 Tun Taib
KUCHING: Dirgahayu! Dirgahayu! Dirgahayu! Itulah ungkapan dan laungan semasa menyambut Perayaan Hari Jadi Ke-81 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dataran Perayaan Kompleks Sukan Sarawak di sini, semalam.
Hujan turun tidak menjadi penghalang untuk majlis ulang tahun itu terus berlangsung dengan lancar meskipun sederhana.
Apa yang pasti, selingan persembahan menarik daripada peserta berbilang kaum ternyata memeriahkan suasana sambutan penuh warna-warni itu.
Tinjauan Utusan Borneo semasa menghadiri titik bersejarah negeri Sarawak itu semalam sempat menemu bual individu terlibat dalam meraikan sambutan berkenaan.
Seorang penjawat awam, Aini Jeman, 48, mengucapkan semoga dipanjang usia kepada Tun Taib yang menyambut ulang tahunnya ke-81.
“Semoga diberikan kesihatang baik, dimurahkan rezeki serta sentiasa menjaga kebajikan rakyat Sarawak,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, jasa Tun Taib sebagai pemimpin di Sarawak akan terus dikenang dan diingati masyarakat.
Tambah Aini, persembahan diselitkan dalam sambutan tersebut amat menarik terutama ketika hujan mula reda.
Sementara itu, salah seorang peserta persembahan, Mohd Benfadzlyn Mohd Benjamin, 25, berkata, dia bertuah kerana terlibat dalam meraikan sambutan hari jadi Tun Taib pada tahun ini.
“Dipilih sebagai penari untuk membuat persembahan pada hari ini (Hari Jadi TYT) adalah satu penghormatan kepada saya.
“Semoga beliau terus sihat dan dipanjangkan usia. Dirgahayu Tun Taib,” katanya.
Dalam majlis itu, sebanyak 81 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan terlibat dalam Isitiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa tersebut.