Dua lelaki diberkas kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah
MIRI: Dua lelaki dalam dua kes berasingan diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Kedua- dua suspek yang berusia 54 dan 31 tahun kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berhubung kes tersebut.
Dalam kes pertama katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis BSJND Miri melakukan serbuan ke sebuah rumah di Lorong 4 Pujut 3 di sini.
Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu peket plastik kecil mengandungi dedaun kering dipercayai ganja seberat 1.0 gram daripada suspek.
“Barang disyaki dadah dirampas dan suspek ditangkap disiasat lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya sambil memberitahu, hasil ujian air kencing suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine.
Manakala dalam kes kedua kata Stanley, sepasukan polis daripada BSJND diketuai Inspektor Wikkram Sandra yang melakukan Ops Tapis cuba menahan seorang penganggur menunggang motosikal di tepi Jalan Belian, Lorong 2 Pujut 2C di sini untuk pemeriksaan kerana disyaki terlibat kegiatan serupa.
Bagaimanapun, suspek tiba-tiba melarikan diri sambil membuang satu bungkusan plastik warna putih di atas rumput.
“Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan bungkusan plastik yang dibuangnya kemudian diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi 20 peket plastik lut sinar berisi tumbuhan kering dan ketulan mampat disyaki dadah ganja seberat 150 gram serta dianggarkan bernilai RM1,800,” katanya.
Suspek merupakan seorang penganggur kemudian ditangkap dan dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk soal siasat lanjut.
Manakala hasil ujian air kencingnya menunjukkan kesan negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952.