Utusan Borneo (Sarawak)

Kempen kesedaran rabies di Taman Malihah, esok

-

KUCHING: Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengadakan Kempen Kesedaran Wabak Penyakit Rabies di Dewan Serba Guna Taman Malihah, di sini pada Jumaat ini (esok).

Menurut Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri, program itu akan dimulakan dari jam 8 hingga 9 malam.

Manakala pada keesokan harinya (Sabtu), Program Pemvaksina­n Haiwan Kesayangan akan diadakan di tempat sama dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang.

“Orang ramai dan pemilik haiwan diminta datang untuk keduadua program tersebut. Program Pemvaksina­n Haiwan Kesayangan dari rumah ke rumah juga akan diadakan di Taman Alamanda Indah, Matang,” kata kenyataan itu semalam.

Setakat jam 3 petang semalam, sebanyak 110 ekor anjing dan 15 ekor kucing diberi suntikan pelalian penyakit rabies di kawasan Matang.

Secara kumulatif, sebanyak 35,671 ekor haiwan kesayangan yang terdiri daripada 27,767 ekor anjing, 7,859 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin setakat ini.

JPVS juga meneruskan aktiviti penyiasata­n kes-kes berkaitan rabies, di mana sebanyak 40,664 survelan aktif dan 1,681 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak dilakukan di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

Operasi bersepadu yang dikendali Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama JPVS setakat ini telah menangkap 1,478 ekor anjing terbiar di bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit tersebut.

Jabatan Kesihatan Negeri turut memaklumka­n bahawa sebanyak 24 kes gigitan baharu dilaporkan semalam; iaitu enam kes dari bahagian Serian, 12 kes (Kuching), tiga kes (Samarahan) dan tiga kes (Sri Aman).

Daripada jumlah tersebut, semua 21 kes melibatkan haiwan peliharaan, menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku mulai 1 April 2017 hingga ke semalam berjumlah 3,430 kes.

Secara kumulatif juga, seramai 1,244 orang telah menerima suntikan vaksin antirabies, selepas dinilai secara klinikal oleh pakar perubatan jika vaksin diperlukan atau sebaliknya.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April 2017 hingga kini, segera melakukan pemeriksaa­n di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Sila hubungi Bilik Operasi Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di talian 082-443991/446991/447960 untuk sebarang laporan mengenai wabak rabies.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia