Utusan Borneo (Sarawak)

Beri masa setinggan Kpg Merican Lutong pindah

Rata-rata penduduk daif, JTS diminta beri sedikit masa pindah ke penempatan semula Tudan Desaras

- Oleh Mohamad Norhadie Sahari

MIRI: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) disaran memberi tempoh kepada penduduk setinggan Kampung Merican Lutong untuk berpindah ke penempatan semula di Tudan Desaras.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata satu perbincang­an akan dibuat bersama JTS supaya penduduk setinggan ini diberi tempoh untuk berpindah.

“Rata-rata penduduk setinggan di sini golongan kurang berkemampu­an dan daif. Kita berharap JTS memberi sedikit masa untuk mereka berpindah ke penempatan semula,” katanya semasa melawat Kampung Merican Lutong semalam.

Sebastian memberitah­u tindakan meroboh sememangny­a di bawah kuasa agensi itu tetapi biar ia dilakukan dengan tertib dan sistematik agar penduduk terlibat boleh bersedia lebih awal.

“Saya telah dimaklum penduduk Kampung Merican ini bahawa rumah mereka diroboh tanpa notis, saya akan melihat perkara ini dan berbincang dengan agensi berkenaan,” jelasnya.

Petang kelmarin, sembilan rumah setinggan di Kampung Merican dirobohkan menggunaka­n jentera berat oleh anggota penguat kuasa JTS.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, penduduk kampung tampil membuat laporan polis kerana mendakwa tindakan meroboh rumah berkenaan dilakukan tanpa sebarang notis.

Salah seorang penduduk yang terjejas, Robert Banda berkata dia terkejut selepas melihat rumahnya dirobohkan pihak penguat kuasa JTS selepas pulang dari tempat kerja.

“Rumah saya dirobohkan petang kelmarin tanpa sebarang notis dikeluar JTS, kesemua barangan dalam rumah juga rosak dan jumlah kerugian belum diketahui,” katanya.

Seorang lagi pengadu, Rabong Ingas berkata tindakan JTS itu turut memusnahka­n peralatan dan bahan binaan rumah baharu diletak dalam rumahnya.

“Rata- rata kami di sini merupakan golongan miskin dan kurang berkemampu­an, kami memohon agar diberi tempoh berpindah memandangk­an kos besar untuk membina rumah baharu,” katanya.

Rabong menegaskan, penduduk kini hilang tempat berteduh dan terpaksa mengutip bahan binaan rumah rosak untuk diguna semula bagi membina rumah baharu.

Lebih 20 rumah lagi bakal diroboh dan penduduk di Kampung Merican Lutong menggesa agar JTS lebih bertimbang rasa sebelum melakukan sebarang tindakan meroboh.

“Sembilan rumah telah diroboh petang kelmarin dan kami sebagai pemilik rumah tidak diberi notis arahan meroboh JTS dan ia mengecewak­an kami,” jelasnya.

Saya telah dimaklum penduduk Kampung Merican ini bahawa rumah mereka diroboh tanpa notis, saya akan melihat perkara ini dan berbincang dengan agensi berkenaan. Datuk Sebastian Ting ADUN Piasau

 ??  ?? SIMPATI: Sebastian (tiga kanan) bertemu dengan penduduk Kampung Merican Lutong selepas sembilan rumah setinggan di situ dirobohkan, petang kelmarin.
SIMPATI: Sebastian (tiga kanan) bertemu dengan penduduk Kampung Merican Lutong selepas sembilan rumah setinggan di situ dirobohkan, petang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia