Wujud talian khas bantu mangsa rogol, sumbang mahram tangani trauma
KUCHING: Kerajaan disaran mewujudkan Talian Khidmat Khas Lindungan Kanak- Kanak dan Pusat Kesihatan Mental bagi membantu mangsa rogol dan sumbang mahram menangani kesan dan trauma daripada jenayah yang amat kejam tersebut.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen, Dr Kelvin Yii berkata sementara pergi ke balai polis untuk membuat laporan merupakan langkah paling penting, namun ia memerlukan keberanian dan langkah besar khususnya bagi kalangan mangsa.
Justeru, bagi memudahkan lagi orang ramai khususnya di kalangan mangsa melaporkan kes- kes sedemikian, kerajaan khususnya Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak perlu mempertimbangkan kedua-dua cadangan tersebut.
“Justeru, saya menyeru kementerian menubuhkan talian khidmat 24 jam, sama ada Talian Lindungan Penganiayaan Kanak-Kanak di mana operator dilatih khas dan berupaya mengendalikan aduan sedemikian sementara membuat keputusan dalam melindungi kerahsiaan pengadu untuk perlindungan mereka sendiri.
“Selain itu, saya juga mencadangkan agar kementerian menubuhkan kemudahan kesihatan mental dibiayai kerajaan bagi menyediakan kaunseling dan psikoterapi oleh pakar psikologi klinikal yang terlatih serta pakar psikiatri jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin. Dr Yii berkata, jumlah kes sumbang mahram di Sarawak tahun ini meningkat kepada 15 setakat bulan ini, berbanding 13 kes sepanjang 2016.
Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan masih ada kes yang tidak dilaporkan atas pelbagai sebab termasuk takut dan kurang pengetahuan dalam cara melaporkan kes sedemikian.
Beliau turut memuji usaha Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dalam menangani isu-isu itu serta menggalakkan orang ramai mempunyai maklumat mengenai jenayah kejam itu melaporkannya di balai polis terdekat.
Kerjasama daripada masyarakat, termasuk ibu bapa katanya, sememangnya amat diperlukan untuk mengatasi masalah itu serta mengurangkan jumlah kes sumbang mahram di negeri ini.
Dr Yii memberitahu, selain masalah emosi yang mungkin timbul akibat penganiayaan itu, beberapa mangsa juga mungkin terjejas oleh kegagalan menyesuaikan diri dengan persekitaran, termasuk alkohol, penyalahgunaan dadah, mencederakan diri atau gangguan tidur dan makan.
“Saya berharap kementerian serta pihak-pihak berkaian dapat mengambil serius perkara ini agar tidak ada kanak-kanak perlu mengharungi pengalaman pahit tersebut.
“Satu kes sudah cukup banyak dan ia merupakan tanggungjawab kita sebagai komuniti untuk melindungi anak-anak kita supaya mereka membesar dengan baik dan menyumbang kepada masa depan masyarakat kita,” katanya.