Utusan Borneo (Sarawak)

Suspek kes curi kenderaan dicekup selepas tiga minggu bersembuny­i

-

KUCHING: Setelah hampir tiga minggu bersembuny­i, akhirnya seorang lelaki yang dikhendaki polis kerana terlibat kes curi kenderaan berjaya dicekup anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan semalam.

Ketua Polis Daerah Superinten­den Aidil Bolhassan berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Tapah, Jalan Kuching-Serian sekitar jam 10 pagi hasil maklumat awam serta risikan polis.

Menurutnya, turut dirampas ialah beberapa senjata merbahaya termasuk parang dan pemotong besi serta sebuah motosikal curi dan peralatan mencuri kenderaan.

“Suspek berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kita di sebuah rumah di Kampung Tapah dan siasatan awal juga suspek mengaku terlibat dalam kes samun dan curi kenderaan pada 23 Ogos lalu berdekatan Kampung Skuduk,” katanya.

Selain itu, suspek yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau itu juga mengaku melakukan kegiatan jenayah tersebut bersama rakan- nya yang kini masih menjadi buruan pihak polis.

Pada 23 Ogos lalu, seorang lelaki yang merupakan penjawat awam dikatakan dalam perjalanan pulang apabila terserempa­k dengan suspek serta beberapa orang rakannya di persimpang­an Kampung Skuduk, Padawan sekitar jam 3.40 pagi.

Lelaki terbabit yang berusia sekitar 20-an itu kemudian memberhent­ikan keretanya dan bertanyaka­n kepada suspek kenapa mereka berhenti di persimpang­an tersebut.

“Bagaimanap­un, suspek dikatakan bertindak mengacu parang ke arah lelaki terbabit dan mengarahka­nnya keluar sebelum bertindak melarikan keretanya dari tempat kejadian,” kata Aidil.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan suspek selepas itu terus diburu sehingga berjaya ditangkap semalam.

“Kereta milik mangsa telah dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut, manakala suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak turut didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia