Gaji bukan punca polis terlibat rasuah
Isu rasuah sebenarnya berkait rapat dengan integriti dan nilai diri seseorang
KUCHING: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Sarawak berpendapat isu ‘gaji kurang’ punca anggota penguat kuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat rasuah, adalah kurang tepat.
Setiausaha Agung PBPM Sarawak Nichol Nyambang berkata ini kerana isu rasuah sebenarnya berkait rapat dengan integriti dan nilai diri seseorang.
“Ini kerana kalau dikaitkan dengan gaji kurang, bukan sahaja pegawai penguat kuasa pernah ditahan atas kesalahan rasuah tetapi pegawai atasan yang bergaji berpuluh ribu sebulan pun terlibat.
“Semua ini terpulang kepada
Ini kerana kalau dikaitkan dengan gaji kurang, bukan sahaja pegawai penguat kuasa pernah ditahan atas kesalahan rasuah tetapi pegawai atasan yang bergaji berpuluh ribu sebulan pun terlibat.
individu, mungkin mereka ini terikut-ikut dengan gaya hidup mewah tetapi tidak berkemampuan. Namun lebih banyak yang terjerumus kerana ‘kena pancing’ pemberi rasuah,” katanya kepada Utusan Borneo.
Justeru beliau berpendapat, pemberi rasuah sewajarnya diberi hukuman yang lebih berat berbanding penerima rasuah.
“Kalau tiada pemberi, maka tiada rasuah. Tiada siapa pun yang tidak akan kelabu mata apabila ditawarkan ribuan malah puluhan ribu ringgit untuk mengelak daripada diambil tindakan undang-undang,” ujarnya.
Nichol yang bersara wajib pada 2010, bagaimanapun mengakui rasuah merupakan isu yang rumit untuk ditangani kerana ia berlaku disebabkan banyak faktor.
“Gaji polis misalnya telah disemak semula beberapa tahun lalu berbanding dahulu semasa saya masih dalam perkhidmatan, gaji anggota kecil tetapi tidak ramai terlibat rasuah.
“Oleh itu sekali lagi saya tegaskan, semua ini terpulang kepada hati dan keinginan kita masing-masing,”ujarnya.
Dalam pada itu katanya, persatuan amat menyambut baik saranan kenaikan gaji anggota agensi penguat kuasa kerana tugas mereka ketika ini lebih mencabar berbanding dahulu.
Anggota agensi penguat kuasa terutama polis berdepan ancaman bentuk baharu dengan jenayah yang lebih terancang dan modus operandi lebih kompleks menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya sehingga meragut nyawa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang menggesa kerajaan melihat dan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota serta agensi-agensi penguat kuasa di negara ini khususnya PDRM.
“Ini salah satu langkah penting bagi mengelak anggota dan pegawai agensi-agensi penguat kuasa terjerumus ke dalam kancah rasuah dan salah guna kuasa,” kata SPRM.
Kenyataan akhbar itu dikeluarkan sempena pelantikan Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Nichol Nyambang Setiausaha Agung PBPM Sarawak