Bukit Aman periksa bangunan, persekitaran pusat tahfiz
KUALA LUMPUR: Sekumpulan enam pegawai penyiasat dari Bukit Aman kelihatan memasuki bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Hujung, di sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Mereka kelihatan memeriksa tempat kejadian serta mengambil gambar beberapa sudut bangunan yang terbakar dan persekitaran bangunan.
Kumpulan penyiasat berkenaan kelihatan beredar kirakira 20 minit kemudian.
Tragedi yang meragut 23 nyawa dalam kejadian kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas mendapat liputan meluas pihak media serta menjadi keutamaan pihak berkuasa berikutan dakwaan kemungkinan ia melibatkan unsur jenayah.
Sehingga kini, punca kejadian kebakaran tersebut masih menjadi tanda tanya setelah siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan kebakaran bukan berpunca daripada litar pintas. — Bernama