Tarik pengunjung Borneo ke Hari Bukit Mas MDL rancang bekerjasama dengan Brunei, Sabah, Labuan tingkat kehadiran pengunjung
LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) merancang mengadakan kerjasama dengan Brunei, Sabah mahupun Labuan untuk meningkat kehadiran pengunjung ke sambutan Hari Bukit Mas tahun depan dalam usaha mempromosikan perayaan itu di peringkat Borneo.
Wali Kota MDL Kaunselor Sufian Mohat berkata terdapat peningkatan penyertaan dari Brunei pada pertandingan Mr Wonderful yang diadakan setiap tahun.
“Selain bercadang mengadakan kolaboratif dengan wilayah serumpun, kita juga mendapat penyertaan memberangsangkan dari negara jiran, Brunei.
“Dalam pertandingan Mr Wonderful, 80 peratus pe- serta menyertai acara itu setiap tahun adalah peserta Brunei,” katanya pada sidang media Hari Bukit Mas 2017 di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha MDL Shariman Faizul Abdullah, pengerusi pengelola Malam Kebudayaan sempena Hari Bukit Mas Safiah Abu Bakar dan ketua-ketua jabatan.
Beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan sekitar 15,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Bukit Mas 2017 yang memasuki edisi ke-13 penganjurannya di Taman Tasik Bukit Mas dan Dataran Jubli Emas pada 6 hingga 8 Oktober depan.
Beliau berkata pelbagai kelainan diadakan pada program itu dalam usaha menarik kemasukan pengunjung tempatan dan luar selain memperkenalkan Taman Tasik Bukit Mas popular di sini.
Menurutnya, selain mengekalkan pertandingan Mr Wonderful yang disertai peserta bina badan dari wilayah Borneo, pelbagai kelainan turut diadakan kali ini.
“Antaranya Limbang Obstacle Challenge dan pertandingan kereta, motosikal dan basikal berhias,” jelasnya.
Aktiviti lain termasuk derma darah, saringan kesihatan, karaoke, pertandingan mewarna, melukis, memancing, pakaian beragam dan gubahan, menangkap itik dan tarik tali tiga penjuru menggunakan kain pelikat.
Katanya Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka merasmikan Hari Bukit Mas pada malam 6 Oktober di Taman Tasik Mas Limbang.
“Acara kemuncak pada malam 7 Oktober ialah Malam Kebudayaan sempena Hari Bukit Mas 2017 yang dijangka disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.
Sufian berkata aktiviti lain turut diadakan pada 8 Oktober membabitkan aktiviti senamrobik, tarik tali guna kain pelikat, bot kawalan jauh, andaman, memasak dan gubahan.
Beliau turut mengalualukan kehadiran orang ra- mai memeriahkan sambutan Hari Bukit Mas yang merupakan satu program tetap dalam kalendar pelancongan MDL.
“Program ini merupakan sebahagian perancangan MDL mempromosi keunikan Taman Tasik Bukit Mas kepada pengunjung luar.
“Hari Bukit Mas diadakan setiap tahun berpotensi menarik pelancong dalam dan luar negeri sekali gus menjanakan pelancongan domestik di sini,” katanya.