Kes penipuan: Bekas eksekutif bank Vietnam dihukum mati
HANOI: Seorang bekas eksekutif perbankan Vietnam dijatuhkan hukuman mati semalam dalam kes penipuan besar-besaran, ketika rakan tertuduhnya menerima hukuman penjara seumur hidup pada perbicaraan yang turut melibatkan 51 pegawai bank dan ahli perniagaan.
Hukuman dijatuhkan pada hujung perbicaraan selama sebulan ketika pihak kepimpinan komunis di Vietnam melakukan tindakan antirasuah, menyasarkan bekas pegawai, pegawai bank dan eksekutif yang dituduh bagi kegiatan rasuah dan salah guna pengurusan.
Bekas pengurus besar Ocean Bank Nguyen Xuan Son dijatuhkan hukuman mati bagi penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus ekonomi.
Rakan ketua kumpulan dan bekas pengerusi Ocean Bank Ha Van Tham, pernah menjadi salah seorang lelaki terkaya di Vietnam, dipenjarakan seumur hidup bagi dakwaan yang sama, termasuk melanggar peraturan bagi pinjaman.
Kedua-dua lelaki itu meninggalkan mahkamah dengan wajah sugul selepas keputusan dijatuhkan.
Perbicaraan menyasarkan eksekutif berpangkat tinggi dituduh bagi kerugian bernilai berjuta-juta dolar yang membelenggu Vietnam, yang berada di kedudukan salah sebuah negara paling korup di Asia.
Dakwaan kemudian dilakukan kepada kumpulan berikutnya, menyasarkan beberapa orang akauntan, pengurus cawangan dan beberapa pihak lagi dalam salah satu perbicaraan perbankan yang paling besar di negara ini.
Hukuman lain diumumkan semalam meliputi dari hukuman penjara selama 22 tahun sehingga 18 bulan yang di- tangguhkan serta pendidikan semula di luar penjara.
“Tindakan Tham dan Son adalah sangat serius, melibatkan pengurusan harta benda negara dan menyebabkan masalah kepada umum, yang memerlukan hukuman tegas,” tegas hakim Truong Viet Toan.
Tham, pengasas Ocean Bank, disabitkan kerana meluluskan secara haram satu pinjaman berjumlah $23 juta pada 2012 dan salah urus ekonomi menyebabkan kerugian besar.
Turut terlibat dalam pendakwaan adalah pemerolehan PetroVietnam bagi saham bernilai $35 juta dalam bank pada 2009. Ia kemudian telah dibatalkan.
Son, pengarah bank pada masa itu dan kemudian menjadi pengerusi firma minyak negara yang berkuasa PetroVietnam, dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah laku.
Skandal ini telah menyebabkan kejatuhan Ocean Bank.
Ia telah menjadi sebahagian daripada Ocean Group, yang terlibat dalam bidang hartanah dan subsidiari perhotelan serta menikmati kenaikan mendadak selepas penubuhannya pada 2007. Ia telah dinilaikan sebanyak $500 juta pada tahun 2013 di bawah pengawasan Tham.
Ocean Group masih lagi aktif dalam bidang hartanah, perhotelan dan perkhidmatan serta telah dinilaikan sebanyak $ 3.5 juta pada 2016, menurut laman sesawangnya.
Sektor perbankan Vietnam yang dilanda skandal perbankan telah dibelenggu oleh pinjaman yang tidak dapat diharapkan dan pilih kasih, yang mana menurut pemerhati sebagai berisiko menjejaskan perkembangan ekonomi negara yang kukuh. — AFP