Kit Siang sekali lagi tunjukkan ‘wajah sebenarnya’: Salleh
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sekali lagi menunjukkan wajah sebenarnya dengan mempersendakan beliau dan menggelarkan beliau serta seorang lagi pemimpin UMNO dari Sabah sebagai ‘dua badut UMNO’.
“Jika seseorang itu membela partinya dan mempertahankan parti daripada pembohongan, fitnah dan serangan akan menjadikan orang itu badut, maka setiap ahli politik di dunia akan menjadi badut bagi partinya sendiri,” kata Salleh dalam catatan terkini blognya, sskeruak.blogspot.com.
Beliau memberi respons kepada tindakan Kit Siang yang menggelarkan beliau dan seorang lagi pemimpin UMNO Sabah iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai ‘dua badut UMNO’.
Salleh turut bertanya sama ada DAP tidak memecat manamana anggota yang gagal akur dengan kehendak parti.
“Apabila orang menyokong parti mereka, anda menggelarkan mereka badut dan apabila mereka tidak akur dengan kehendak parti, anda memanggil mereka pengkhianat dan memecat mereka.
“Kit Siang perlu menyatakan pendiriannya tentang bagaimana beliau mengharapkan pemimpin parti menunjukkan kesetiaan. Bukankah semua pemimpin DAP yang tidak mempersetujui bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi berdiam diri dan tidak berani menentang tindakan itu juga dianggap badut?” katanya. — Bernama