PRU14: PH dijangka pertaruh Irwan daripada PKR bagi kerusi Petra Jaya
KUCHING: Pakatan Harapan ( PH) dijangka mempertaruhkan Datuk Dr Nor Irwan Ahmat Nor daripada Parti Keadilan Rakyat ( PKR) bagi kerusi Parlimen Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 ( PRU14) kelak.
Berusia 41 tahun, beliau yang memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan awam berasal dari Kampung Laruh Skim, Petra Jaya.
Risalah mengenai beliau diedarkan di beberapa kawasan perumahan di Matang pada minggu ini.
Jurutera itu mengesahkan beliau merupakan calon PKR ketika dihubungi.
Pada risalah berupa kalendar itu ditulis ‘ Sokong anak jati Petra Jaya; Mendukung Nasib Bangsa; dan Memperjuangkan Hak Sarawak.’
Ia turut memaparkan Ikrar Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang mengetengahkan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan ( GST), menstabilkan harga minyak, memberi tumpuan terhadap usaha meringankan beban rakyat, memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah ke akar umbi, dan memulihkan FELDA.
Kerusi Parlimen Petra Jaya dimenangi Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi PRU13 pada 2013.
Fadillah yang kini merupakan Menteri Kerja Raya merupakan penyandang kerusi itu sejak PRU 2004, dan memenanginya semula pada 2008.
Pada 2004, beliau menewaskan Wan Zainal Abidin Wan Senusi, manakala pada 2008 mengalahkan Mohamad Jolhi. Keduaduanya merupakan calon daripada PKR.
Fadillah, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB), dijangka akan bertanding semula pada PRU14 ini.