Festival muzik medium terbaik bangun pelancongan Miri
MIRI: Festival muzik dilihat mampu menawarkan peluang besar untuk pembangunan pelancongan mampan, jelas Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.
Justeru katanya, Miri sebagai bandar raya peranginan antara lokasi ideal bagi menganjurkan festival muzik daripada pelbagai genre.
“Untuk pelancongan baik khususnya di sini, kita perlu menwarkan pelbagai acara boleh memenuhi kehendak semua orang menerusi muzik.
“Di Miri, kita bermula dengan penganjuran Borneo Jazz, diikuti Miri Country Music Festival dan sekarang julung kali dianjur Rocktober Fest Borneo 2017,” katanya.
Jelasnya, ini menunjukkan bahawa Miri mampu menawarkan pelbagai pilihan muzik untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira pilihan muzik.
Lee berkata demikian pada sidang media melancarkan Rocktober Fest Borneo 2017 anjuran NorthEastern Group, petang Khamis lalu.
Hadir sama ialah wakil Majlis Bandaraya Miri (MBM) Kaunselor Karambir Singh dan wakil NorthEastern Group Joseph Kaos Jr.
Jelasnya, Rocktober Fest Borneo terbabit akan mengumpul peminat muzik rock untuk bersama menghayati muzik dari 37 kumpulan rock tempatan dan luar negara yang beraksi selama dua hari, 6 dan 7 Oktober tersebut.
Kaunselor Karambir mewakili Datuk Bandar MBM Adam Yii berkata, MBM sentiasa menyokong sepenuhnya usaha tempatan untuk menghidupkan suasana Miri.
“Penganjuran Rocktober Fest Borneo ini juga secara langsung sebahagian usaha mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan menarik selain menawar pel- bagai acara tempatan untuk pelancong dari luar.
“Malah, Rocktober terbabit bukan sahaja menampilkan pemuzik rock tempatan dan terkemuka negara dan antarabangsa, ia juga menyediakan platform generasi muda mempamerkan bakat seni muzik mereka,” katanya.
Terdahulu, Joseph berkata penganjuran julung kali Rocktober Fest itu adalah kesinambungan kepada acara kecil yang diadakan oleh pihaknya iaitu ‘Alice Live Series’ dengan membawa kumpulan band yang terkenal membuat persembahan di Miri.
“Selepas mendapat respon positif daripaa penggemar muzik di sini, kami memutuskan untuk melakukan sesuatu lebih besar, dan oleh sebab itu Rocktober Fest Borneo diadakan untuk julung kalinya di sini,” tambahnya.
Lebih 4,000 peminat muzik rock dijangka memeriahkan acara selama dua hari terbabit yang bermula 2 petang hingga 12 tengah malam di Hotel Parkcity Everly Miri dengan menampilkan band dari Malaysia, Filipina dan Brunei antaranya Hujan, Estranged, XPDC, Oh Chentaku, OAG, Bunkface dan Slapshock. MIRI: Isu buli di sekolah tidak boleh dipandang sebelah mata sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak untuk mencegah penularan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau Datuk Sebastian Ting berkata sekolah sepatutnya menjadi gedung ilmu bukannya tempat melahirkan pembuli atau samseng.
“Perbuatan membuli, sama ada berseronok atau kerana benci dan ingin membalas dendam tidak wajar menjadi budaya menunjangi institusi sekolah,” katanya merasmikan Kempen Derma 1,000 Selipar dan Telekung di sini semalam.
Tegasnya, sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat kepada pelajar mencari ilmu pengetahuan bukan tempat menunjukkan kekuatan.
“Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan melalui perbuatan mengasari orang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan diri.
Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal seperti memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit serta mengejek,” jelasnya.
Sehubungan itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anakanak.
Pada masa sama sentiasa peka aktiviti yang dilakukan anakanak serta mengambil tahu latar belakang rakan sebaya mereka.
Guru juga katanya haruslah arif dalam mengesan sebarang tanda negatif atau perubahan dalam diri seseorang pelajar itu.
Seumpamanya, melihat gelagat pelajar sentiasa periang di sekolah telah berubah identitinya dengan mendiamkan diri dan mengasingkan diri.
“Ia mungkin memaparkan tanda seseorang pelajar itu mungkin dibuli atau terlibat dalam sebarang masalah memerlukan perhatian guru di sekolah,” katanya.
“Usaha ini, ia tambah beliau dapat membanteras anak-anak muda pada hari ini daripada terjebak dalam kancah gejala seperti ini,” katanya.
Sementara itu, kempen anjuran Batas Malaysia cawangan Miri itu bertujuan memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk berbuat kebaikan.
Sumbangan selipar dan telekung itu akan diserahkan kepada kepada surau dan masjid yang terpilih di Miri.