Bandar pintar realisasi misi Sarawak menuju era digital
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri akan mewujudkan bandar pintar ebagai persiapan merealisasikan fasa pembangunan negeri ke arah era digital, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.
Jelasnya, pelaksanaan bandar pintar akan dilakukan secara berperingkat bagi memudahkan rakyat memahami setiap teknologi dilaksana.
“Melalui pelaksanaan ini, kualiti kehidupan rakyat akan meningkat secara langsung. Sarawak tidak mahu ketinggalan, oleh itu kita memerlukan bandar pintar untuk memasuki fasa digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Randau Bersama Menteri sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Dewan Tun Razak, PWTC, di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Sim, Sarawak memerlukan pembangunan infrastruktur berteknologi terkini.
“Tidak dinafikan, ia agak sukar untuk dilaksanakan dalam tempoh singkat, namun ia tetap dijalankan secara berperingkat. Segala-galanya akan dihubungkan melalui bandar pintar,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan sebanyak 30 lampu isyarat pintar dapat mengesan kenderaan secara automatik apabila melaluinya dipasangkan di Sarawak pada penghujung tahun ini.
Beliau turut menggesa masyarakat Sarawak khususnya golongan belia untuk berkongsi idea tentang teknologi terkini bagi memudahkan pelaksanaan dan penggunaannya.
Penganjuran ke-10, program LBAS cukup sinonim dengan anak Sarawak merupakan acara tahunan yang sememangnya dinantikan oleh masyarakat negeri ini yang bertapak di Semenanjung Malaysia.