Khidmat tanpa kenal penat lelah
Abdul Mutalib bersara rasmi setelah 37 tahun bersama pasukan bomba
SIBU: Ketua Zon Sibu, PgKB I Abdul Mutalib Rashid, 60, bersara rasmi setelah menabur bakti hampir 37 tahun dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk berkhidmat 11 tahun enam hari di Sarawak.
Majlis Apresiasi dan Lambaian Kasih sempena persaraan beliau diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah di sini, malam kelmarin.
Pengarah JBPM Sarawak Mohd Nor Hisham Mohammad berkata, Abdul Mutalib merupakan individu berbakat yang memulakan kerjayanya di jabatan tersebut dari peringkat rendah sehinggalah menjadi Ketua Zon Bomba Sibu.
“Abdul Mutalib merupakan seorang pegawai tidak mengenal erti penat dan lelah biarpun ketika baharu keluar dari hospital, beliau bangkit bekerja semula,” katanya pada majlis dihadiri semua wakil balai bomba seluruh negeri ini.
Menurutnya, Abdul Mutalib mempamerkan semangat seorang pegawai bomba yang jitu, meskipun masih bercuti sakit beliau turun padang ke lokasi kebakaran.
Abdul Mutalib merupakan seorang pegawai tidak mengenal erti penat dan lelah biarpun ketika baharu keluar dari hospital, beliau bangkit bekerja semula. Mohd Nor Hisham Mohammad Pengarah JBPM Sarawak
Pengalaman Abdul Mutalib dalam JBPM bermula selepas mengikuti Kursus Asas Kebombaan dan Lanjutan di Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu pada 15 Mei 1981 hingga Jun 1982.
Beliau menjadi pegawai operasi Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dari 1982 hingga 1983.
Abdul Mutalib kemudian menyambung tugasnya sebagai Pengawai Operasi dan Pegawai Penjaga Balai di Balai Bomba Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur dari 1983 hingga 1991.
Beliau juga pernah menjadi Pegawai Latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Selangor dari 1991 hingga 2001, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan Selangor (2001 hingga 2003) dan Bandar Baru Bangi, Selangor (2003 hingga 2007) sebelum berpindah ke Sarawak menjadi Ketua Zon Sibu sehingga sekarang.
Selain itu, Abdul Mutalib mengikut beberapa kursus luar negara termasuk di Singapura, Belgium, London, Australia dan Amerika Syarikat untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran beliau dalam bidang berkaitan.
Beliau merupakan penerima Anugerah Sijil Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Kebangsaan pada 1985, 1990 dan 1994 serta Pingat Jasa Bomba pada 1996 dan Pingat Jasa kebaktian (PJK) Negeri Selangor pada 2002.
Pada majlis sama, Nor Hisham turut menyampaikan hadiah serta sijil kepada pemenang Pertandingan Bomba di Dapur di mana BBP Lepong menjuarai pertandingan tersebut diikut BBP Kanowit dan BBP Kota Samarahan. BELAGA: Penduduk di daerah Belaga khasnya di kawasan Empangan Bakun melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan projek Jalan Jiwa Murni sepanjang 34 kilometer dari Pekan Belaga ke Jalan Bintulu-Bakun di sini.
Timbalan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB) Kampung Belaga, Kaunselor Abu Talip Mokhtar dalam satu kenyataan berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat membaiki keadaan jalan raya berlubang tersebut dengan segera.
“Kami mohon JKR atau agensi berkenaan dapat membantu kami menyelesaikan masalah perhubungan penting ini dengan segera,” katanya.
Abu Talip berkata, pihaknya berharap permintaan itu dapat diambil serius untuk kebaikan penduduk dan pihak luar datang ke kawasan tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk Belaga, Boie Abglong turut sependapat dengan Abu Talip agar masalah jalan itu diselesaikan dengan segera.
“Tolong kami penduduk Pekan Belaga. Hendak keluar dari Pekan Belaga ke Sungai Asap atau Bintulu perlu berfikir panjang sebelum bertolak dengan keadaan jalan tidak mengizinkan. “Kasihanlah kenderaan kami yang kecil terpaksa melalui jalan amat teruk ini.
Bukan semua orang mempunyai kenderaan pacuan empat roda,” katanya.