Pesakit diabetes dinasihati sentiasa periksa kaki
TAHAP kesedaran yang rendah mengenai penjagaan kaki selain jarang memeriksa keadaan kaki mereka menyebabkan pesakit diabetes terdedah kepada pelbagai komplikasi termasuk infeksi dan ulser di kaki sehingga terpaksa menjalani amputasi.
Pakar perunding endokrinologi Hospital Putrajaya Dr Nurain Mohd Noor berkata, kebanyakan penghidap diabetes arif mengenai komplikasi sakit jantung atau strok namun kurang sedar bahawa penjagaan kaki itu sangat penting bagi mereka.
“Saya sering mengingatkan pesakit diabetes agar jangan pandang wajah pada cermin setiap kali bangun pagi tetapi pandanglah kaki.
Ini kerana kalau ada apa-apa di muka orang akan beritahu anda tetapi kalau ada benda di kaki orang tidak akan beritahu kecuali kita periksa sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Penjagaan Kaki bagi Pesakit Diabetes Peringkat kebangsaan, di Putrajaya baru-baru ini.
Program dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Sementara itu, Dr Hilmi dalam ucapannya berkata Pusat Sumber Diabetes (DRC) akan diperluas ke 1,000 klinik kesihatan dan 146 hospital kerajaan secara berperingkat.
Pada masa ini terdapat 622 DRC di 73 hospital dan 549 klinik kesihatan di seluruh negara yang menempatkan 727 jururawat pendidik diabetes (DNE), katanya.
“DRC memberi maklumat tentang penjagaan komprehensif untuk pesakit diabetes seperti pemakanan yang sesuai, pengambilan ubat atau suntikan, pemantauan paras gula dalam darah, pemeriksaan mata dan penjagaan kaki,” katanya.
Dr Hilmi berkata pada masa ini dianggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes. — Bernama