KLIA catat pertumbuhan penumpang 13.7% sehingga Ogos 2017
SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan pertumbuhan penumpang 13.7 peratus dari Januari hingga Ogos 2017, berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ketika ini KLIA menyediakan perkhidmatan kepada lebih 60 syari- kat penerbangan yang menawarkan penerbangan ke lebih 120 destinasi terus.
“Bagaimanapun, KLIA sentiasa bersedia untuk bertindak, kerana persaingan semakin sengit dan dengan dunia di sekeliling kita berubah dengan pantas.
“Untuk bergerak seiring dengan kemajuan dan perubahan itu, KLIA perlu terus melakukan inovasi dan menambah baik perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di lapangan terbang itu,” kata Liow dalam ucapan beliau semasa majlis Anugerah KLIA 2016, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd ( MAHB), Datuk Badlisham Ghazali dalam ucapannya pada majlis yang sama berkata, KLIA merupakan lapangan terbang ke-14 tersibuk di dunia bagi pergerakan penumpang antarabangsa.
Beliau berkata lapangan terbang itu mencatatkan peningkatan 21 peratus kepada 1.8 juta penumpang yang datang dari China bagi separuh pertama 2017.
Menurut Badlisham, KLIA juga menerima kehadiran beberapa syarikat penerbangan baharu tahun ini, seperti Himalaya Airlines dari Nepal, Thai Smile Airways dari Thailand, US Bangla Airlines (Bangladesh), JC Cambodia (Kemboja), Cathay Dragon ( Hong Kong) dan Batik Air Indonesia (Indonesia). — Bernama