K’jaan berharap perbanyak projek tebatan banjir
Telah dilaksana sistem baraj di Kuching, projek tebatan banjir di Sibu, ‘pump gate’ di Bau, Empangan Bengoh
KUCHING: Kerajaan negeri berharap dapat melaksanakan lebih banyak projek tebatan banjir khasnya di kawasan yang kerap berlaku bencana itu.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata ketika ini terdapat beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan di seluruh Sarawak terutama di kawasan bandar seperti sistem baraj di Kuching, projek tebatan banjir di Sibu serta ‘pump gate’ di Bau dan Empangan Bengoh.
“Sistem baraj di Sungai Sarawak mempunyai keupayaan mengawal kadar limpahan air sungai ketika musim monsun timur laut serta hujan luar biasa dan mengimbangi paras air sungai sekali gus mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Kuching di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku menteri bertanggungjawab terhadap bencana di negara ini Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam perkembangan sama Abang Johari berkata JPBN Sarawak telah diiktiraf lima bintang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 2016 atas pengurusan bencana yang cekap dan terbaik bagi banjir yang melanda negeri ini pada Disember 2015.
Pencapaian itu katanya, adalah hasil kerjasama cemerlang daripada semua agensi terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan bencana negeri.
Kerajaan juga katanya, sedar kepentingan tenaga rakyat setempat digembleng dengan matlamat untuk komuniti sendiri sama terlibat dalam usaha bersiap sedia menghadapi bencana.
“Ke arah itu, pada 2010, Community Emergency Re- spond Team atau CERT ditubuhkan. Pasukan bertindak ini berfungsi sebagai pasukan bertindak pada peringkat awal di lokasi bencana sebelum ketibaan agensi penyelamat.
“Program CERT ditaja Petronas sebagai tanggungjawab sosial korporatnya sejajar dengan misi syarikat itu untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat,” katanya.
Tambahnya sejak 2015 Petronas menjalankan kerjasama dengan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Ketua Menteri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan program CERT.
Katanya seramai 1,500 telah dilatih sebagai anggota CERT di bawah tajaan Petronas dan pada tahun ini syarikat berkenaan telah memperuntukkan RM1 juta sebagai dana untuk melaksanakan program CERT di seluruh Sarawak.
Abang Johari berkata bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam memberi pelbagai ben- tuk bantuan serta sumbangan bagi memastikan kelancaran penyaluran perkhidmatan.
“Oleh yang demikian, saya menyeru agar lebih ramai NGO dan orang perseorangan tampil memberi sumbangan dan bantuan sewajarnya sewaktu bencana.
“Bantuan itu amat dihargai oleh kerajaan dan mangsa bencana,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri telah memberi peruntukan pembelian dron dan penyediaan kemudahan komunikasi HF/VHF.
Pembelian dron itu menurutnya, akan memudahkan lagi usaha membuat tinjauan awal di kawasan terlibat bencana sekiranya kawasan itu tidak dapat diakses melalui jalan darat.
Manakala kemudahan komunikasi HF/VHF pula untuk mewujudkan jaringan komunikasi alternatif ketika berlaku bencana, tambahnya.
“Untuk memudahkan bantuan bencana disalurkan dengan segera, Tabung Pengurusan Bencana Negeri juga telah diwujudkan.
“Kita berharap kerajaan pusat dapat menyediakan peruntukan awal bagi tabung ini sebelum berlaku bencana.
“Kita juga memerlukan bantuan dana dari segi menaik taraf pusat-pusat pemindahan banjir dengan membekalkan kemudahan seperti tandas dan PDRM Kontinjen Sarawak memerlukan peralatan tambahan seperti ‘ life jacket’ dan bot penggantian enjin sangkut,” katanya.
Pada majlis itu Uggah menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) manakala Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah menerima pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi JPBN Sarawak Datu Jaul Samion menerima pangkat Kolonel Kehormat (Pertahanan Awam).
Sistem baraj di Sungai Sarawak mempunyai keupayaan mengawal kadar limpahan air sungai ketika musim monsun timur laut serta hujan luar biasa dan mengimbangi paras air sungai sekali gus mengurangkan risiko banjir. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri