Jualan Bazar India tambah baik aktiviti bandar raya Miri
MIRI: Komuniti India di Miri disaran menceburi bidang baharu yang lebih mencabar termasuk mengadakan jualan Bazar India sekali gus menambah aktiviti sedia ada di Miri.
Penaung Persatuan India Miri (MIA) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, pembukaan Bazar India dapat menyediakan banyak peluang kepada ahli untuk melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan keusahawanan.
“Saya gembira perkembangan terkini MIA yang memulakan pembinaan bangunan sendiri. Saya berharap persatuan terus berjaya dalam mengumpul dana untuk merealisasikan pembinaan bangunan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Diwali anjuran MIA di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.
Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Sebastian Ting, Presiden MIA Karambir Singh, Naib Presiden Thomas Sadasivan dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.
Dr Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri menambah, kaum India di Miri memainkan peranan yang signifikan dalam membawa pembangunan di sini.
“Komuniti India terutama lahir, menetap termasuk yang datang dari Semenanjung Malaysia dan bekerja di sini memainkan peranan yang cukup penting bersama kaum lain membangunkan Miri.
“Kerajaan sejak dulu mengiktiraf sumbangan anda dan saya berterima kasih atas sumbangan anda menjadikan Miri sebagaimana hari ini,” katanya.
Jelas Dr Chan, kaum India juga membuktikan mereka mampu bekerjasama dengan kaum lain tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.
Terdahulu, Karambir berkata mereka memerlukan kira-kira RM1 juta untuk menyiapkan bangunan persatuan.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak dan individu menyalurkan bantuan termasuk Dr Chan, bekas Ahli Parlimen Miri Tan Sri Peter Chin dan semua pihak yang banyak membantu persatuan sejak beberapa tahun lalu.
“Kami sudah mengemukakan permohonan kepada Ketua Menteri untuk bantuan geran dan berharap ia dapat diluluskan,” kata Karambir.
Pada majlis tersebut, Sebastian Ting mengumumkan geran RM15,000 untuk dana pembinaan bangunan persatuan.
Majlis malam itu turut dimeriahkan dengan upacara menyalakan lampu dan persembahan kebudayaan komuniti India.