MyPPP harus perhebat program bersama golongan elit
KUALA LUMPUR: MyPPP, selaku komponen Barisan Nasional (BN) harus bersama-sama memperhebatkan program bertemu rakyat di kawasan Wilayah Persekutuan khususnya ke kawasankawasan elit sekitar Kuala Lumpur, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata golongan elit tidak seharusnya ‘ditakuti’ semata-mata mereka mempunyai taraf hidup lebih baik atau corak pemikiran lebih kritikal, sebaliknya faktor tersebut perlu dijadikan sandaran untuk MyPPP dan BN mendapatkan input menyeluruh.
“Kenapa BN mempunyai pekerja takut masuk ke kawasan elit, dan berminat masuk kawasan PPR (Projek Perumahan Rakyat)? Kenapa tak masuk kawasan Taman Tun Dr Ismail, Bangsar, Damansara, ramai orang yang memiliki kemewahan dan berjaya... mereka juga mempunyai keperluan.
“Kita seharusnya boleh mengadakan sesi ‘town hall’ bersama mereka (golongan elit) untuk membincangkan permasalahan dan keperluan mereka, dapatkan idea?
“Kita nak masyarakat tahu parti kita (BN) bukan untuk orang miskin saja, tetapi untuk semua,” katanya sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2017 & Pelancaran Jentera PRU Ke14 MyPPP Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Turut hadir Presiden MyPPP Tan Sri Dr M Kayveas, Naib Presiden Kanan parti Datuk Seri Maglin Dennis D Cruz, Naib Presiden Datuk Dr Loga Bala Mohan Jeganathan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, dan Naib Pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan Datuk Zakaria Abdul Rahman.
Tengku Adnan berkata kebanyakan masalah sosial di bandar besar boleh dikenal pasti punca dan mampu ditangani dengan komprehensif sekiranya jentera pilihan raya BN, termasuk MyPPP, dapat berinteraksi dan mendengar secara terus pandangan daripada masyarakat.
Beliau berkata sekiranya masalah berkaitan sosial dapat ditangani dengan cekap, sudah pasti ia akan mengukuhkan lagi kedudukan BN di mata masyarakat.
Menyahut saranan Tengku Adnan, Kayveas berkata MyPPP akan mula merangka dan menjalankan programprogram town hall itu seawal minggu depan.
“Kerana kita sedar golongan ini tidak terlibat secara menyeluruh dalam pembangunan di Wilayah Persekutuan. Jadi kita akan memberi peluang kepada mereka untuk cakap, dan bertanya… bukan sahaja permasalahan, tetapi juga idea-idea bernas yang boleh kita ketengahkan kepada kerajaan,” katanya.
Mengakui ia bukan tugas mudah kerana golongan itu mempunyai daya pemikiran serta taraf hidup yang berbeza, Kayveas berkata ia satu cabaran harus ditangani bagi memastikan BN terus mendapat tempat dalam semua lapisan masyarakat.
Kayveas, yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan berkata, MyPPP akan memulakan projek perintis sesi town hall itu di Bangsar, diikuti Taman Tun Dr Ismail dan Damansara. — Bernama