Niaga hadapan MSM dijangka bercampur-campur minggu ini
KUALA LUMPUR: Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan bercampur-campur minggu ini, dengan harga antara RM2,550 dan RM2,650 satu tan, kata peniaga.
Peniaga Minyak Sawit Kanan, Interband Group of Companies, Jim Teh berkata peniaga kekal berhati-hati menjelang laporan tanaman utama yang akan dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia minggu ini.
“Pasaran menjangkakan pengeluaran MSM adalah lebih baik pada September berbanding sebelum itu,” katanya kepada Bernama.
Teh berkata, tahap ketidaktentuan pergerakan ringgit berbanding dolar AS juga akan menyuntik sentimen belian positif bagi peniaga asing.
“Lebih ramai peniaga asing dijangka memasuki pasaran, memandangkan penyusutan nilai ringgit akan menjadikan MSM lebih murah bagi mereka,” katanya.
Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, Oktober 2017 naik RM22 kepada RM2,741 satu tan, November 2017 menokok RM36 kepada RM2,733 satu tan manakala Disember 2017 dan Januari 2018 masing-masing meningkat RM35 kepada RM2,730 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan bagaimanapun susut kepada 102,204 lot daripada 114,287 lot pada Jumaat minggu sebelumnya, dan kepentingan terbuka berkurangan kepada 268,058 kontrak daripada 274,461 kontrak.
Di pasaran fizikal, Selatan Oktober meningkat RM10 kepada RM2,740 satu tan daripada RM2,730 satu tan pada Jumaat lepas. — Bernama