KPDNKK Sarawak komited jadi badan bebas jenayah rasuah
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak komited menjadi sebuah badan bebas daripada jenayah rasuah di negeri ini.
Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz Abdul Rahim percaya dengan melakukan demikian KPDNKK Sarawak akan sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat umum dan sentiasa telus dalam sebarang tindakan.
“KPDNKK menyasarkan sifar rasuah dalam kalangan warga kerjanya dan pelbagai usaha akan dilakukan bagi mencapainya.
“Ini sekali gus menunjukkan komitmen kami dalam merealisasikan saranan kerajaan bagi memastikan Indeks Rasuah Malaysia menurun ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini.
Seramai 114 pegawai dan kakitangan KPDNKK menghadiri majlis itu.
Menurut Abdul Hafidz, ia didakan bertujuan mendapatkan komitmen pimpinan organisasi dalam usaha membanteras rasuah.
Pihaknya tegas enggan mana-mana kakitangan dan pegawai terlibat dalam jenayah rasuah dan mencemarkan nama organisasi.
Selain itu, pihkanya berhasrat menanam perasaan benci kepada jenayah rasuah dalam warga organisasi dan klien agar tidak memberi rasuah, tambahnya.
“Bagaimanapun usaha mencegah perbuatan rasuah mestilah bermula daripada keikhlasan diri anggota untuk menolak rasuah.
“Ingin saya ingatkan di sini kepada semua warga kerja KPDNKK Sarawak supaya sentiasa mendahului kepentin- gan pelanggan daripada diri sendiri selaras dengan konsep pihaknya iaitu ‘Kementerian Prihatin’,” tegasnya.
Beliau mahu kakitangannya sentiasa meningkatkan kesedaran dan menerap nilai-nilai integriti dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Turut hadir Timbalan Pengarah SPRM Sarawak Zulhairy Zaidel.