Air boleh jadi sumber kekayaan baharu Sarawak
KM yakin S’wak jadi negeri yang menghasilkan oksigen, hidrogen yang diekstrak daripada air
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yakin bahawa Sarawak akan berupaya menjadi sebuah negeri yang menghasilkan oksigen dan hidrogen yang diekstrak daripada air.
Menurutnya, ia kerana negeri ini begitu kaya dengan sumber air yang boleh dimanfaatkan menggunakan teknologi dari Jerman itu.
“Kita boleh menjadi orang Arab yang baharu, orang Arab kaya kerana minyak, kita kaya kerana air, jadi kita orang Sarawak adalah orang Arab yang baharu,” katanya pada Pameran Kebudayaan Lun Bawang anjuran Persatuan Lun Bawang Sarawak (LBAS) Cawangan Kuching di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Baru-baru ini, Abang Johari bersama delegasi negeri ini telah melawat Jerman untuk mempelajari mengenai teknologi tersebut dan optimis untuk mengguna pakainya bagi manfaat rakyat dan ekonomi Sarawak.
Berhubung perkara lain, Abang Johari berkata beliau mahu bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan mengenai membina semula 260 sekolah di Sarawak kerana sebahagian besar sekolah- sekolah ini sudah berada dalam keadaan usang.
Tanpa mendedahkan secara lanjut, beliau berkata perbincangan tersebut akan menyentuh antara lain mengenai pembiayaan projek pembinaan semula sekolah dan ia melibatkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan pembayaran dana persekutuan.
Sementara itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa beliau perlu mengamalkan undang-undang imigresen khas negeri kerana beliau mahu mengekalkan perpaduan kaum di Sarawak.
Katanya, beliau tidak mahu unsur negatif dari Semenanjung Malaysia masuk ke negeri ini dan menyumbang kepada kemusnahan keharmonian kaum dan agama yang telah dibina dan dinikmati semua rakyat Sarawak selama ini.
Pada masa yang sama, beliau juga memberi jaminan bahawa parti tulang belakang Barisan Nasional (BN), UMNO tidak akan bertapak atau menyebarkan sayapnya ke negeri ini.
Sempena majlis itu, Abang Johari turut menjanjikan sebanyak RM50,000 kepada LBAS yang dipengerusikan Suriya Charles Buas dan RM50,000 lagi kepada cawangan sebagai dana untuk memulakan pembinaan bangunan yang dirancang mereka.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, juga menjanjikan RM20,000 kepada cawangan itu manakala Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berjanji untuk menampung sebahagian kos dalam menganjurkan majlis itu.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong, ADUN Ba’Kelalan Baru Bian, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang serta ADUN Serembu Miro Simuh.
Kita boleh menjadi orang Arab yang baharu, orang Arab kaya kerana minyak, kita kaya kerana air, jadi kita orang Sarawak adalah orang Arab
baharu. ” yang Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri