Jerman mencipta rekod 10 kemenangan berturut-turut selepas benam Azerbaijan
BERLIN, Jerman: Pemain tengah, Leon Goretzka menjaringkan dua gol ketika Jerman membelasah Azerbaijan 5-1 Ahad lepas untuk mencipta rekod 10 kemenangan berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
Juara dunia itu sudah mengesahkan tempat ke Rusia, tuan rumah Piala Dunia 2018 Khamis lepas apabila menewaskan Ireland Utara 3-1 dan menamatkan kempen kelayakan di Kaiserslautern dengan kemenangan ke-10 berturut-turut.
Ini adalah kali pertama Jerman layak ke Piala Dunia dengan rekod kemenangan sempurna dan mereka juga belum tewas dalam 16 perlawanan terakhir.
Skuad kendalian Joachim Loew itu adalah pasukan kedua yang mencipta rekod sempurna dalam kempen kelayakan Zon Eropah selepas Sepanyol melakukannya ketika memenangi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Jerman juga mencipta rekod menjaringkan 43 gol dalam kempen kelayakan ini.
Walaupun kemenangan selesa, Loew tidak gembira dengan aksi anak buahnya dalam separuh masa pertama di mana mereka terikat 1-1 pada masa rehat.
“Barisan pemain yang diturunkan jarang bermain bersama dan anda boleh melihatnya dalam separuh masa pertama,” kata beliau.
“Separuh masa kedua lebih baik kerana lawan mula keletihan. Ia pastinya satu kesilapan untuk menggunakan kempen kelayakan sebagai penanda aras – ya kempen kami adalah bagus – tetapi Piala Dunia adalah perkara yang berbeza.
“Ia pastinya sukar untuk memenangi Piala Dunia buat kali kedua.”
Kemenangan Ahad lepas bagaimanapun ada kesan- nya selepas Niklas Suele dan Shkodra Mustafi terpaksa meninggalkan padang dalam separuh masa pertama kerana kecederaan.
Goretzka membuka jaringan pada awal permainan sebelum Ramil Sheydaev mengikat kedudukan sebelum rehat.
Gol oleh Sandro Wagner, Antonio Ruediger da ngol kedua Goretzka menamatkan saingan Azerbaijan.
Emre Can melengkapkan jaringan untuk gol antarabangsa pertama beliau dengan rembatan dari luar kotak penalti.
Jerman kehilangan Julian Draxler sebelum sepak mula perlawanan kerana selesema sementara Toni Kroos tidak disenaraikan dalam skuad kerana kecederaan.
Pasukan tuan rumah bermula dengan baik apabila Goretzka menjaringkan gol menggunakan buku lalinya pada minit kelapan tetapi Jerman tersentak dengan kecederaan pemainnya.
Suele dikeluarkan pada minit ke-22 dan diganti oleh Ruediger sebelum Mustafi juga terpaksa dikeluarkan ketika gol penyamaan dijaringkan.
Sheydaev melepasi kawalan Mustafi, yang men- galami kecederaan selepas itu, sebelum mengelecek Ruediger dan merembat bola ke pintu gol.
Wagner meletakkan Jerman kembali di hadapan pada minit ke-54 dan Ruediger menjaringkan gol ketiga dengan satu tandukan kencang pada minit ke-64.
Goretzka menjaringkan gol kedua peribadi dan keempat perlawanan dua minit kemudian dengan menyempurnakan hantaran Leroy Sane.
Can, pemain tengah kelab Liverpool, melengkapkan jaringan pada lewat permainan. — AFP