KUD 2017 kini kembali lagi, sasarkan RM13 juta jualan
Karnival dwi tahunan berlangsung 19-22 Oktober di PWTC
PETALING JAYA: Bersempena dengan Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017) yang dijadual berlangsung minggu hadapan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasarkan jualan sebanyak RM13 juta sepanjang empat hari tersebut.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, sasaran 13 juta tersebut adalah termasuk jualan secara langsung kepada pengunjung dan padanan perniagaan antara pihak industri sama ada dalam serta luar negara.
“Karnival dwi tahunan ini akan berlangsung mulai 19 hingga 22 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Bertemakan ‘Usahawan Desa Produk Global’, KUD 2017 kali ini akan melibatkan melibatkan 732 gerai pameran,” pada sidang media Majlis Prapelancaran KUD 2017 di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.
Tambah Ismail Sabri lagi, KUD 2017 kali ini berbeza dengan tahun yang sebelumnya kerana KKLW telah mengenal pasti usahawanusahawan yang berpotensi untuk dikembangkan perniagaan mereka dengan memberi bimbingan yang diperlukan.
“Usahawan ini merupakan usahawan di luar bandar yang KKLW kenal pasti untuk diketengahkan produk dan perkhidmatan mereka ke bandar dan kita cuba bawa mereka ke pasar raya besar dan seterusnya ke pasaran global yang lebih luas dengan penyertaan ke karnival dan ekspo di luar negara.
“Selain itu juga pada kali ini kita memperkenalkan buat pertama kalinya Trade Day iaitu sebagai platform jaringan perniagaan antara pihak industri bersama pasar raya besar, pemasar dan pembeli bersama usahawan desa,” katanya.
Majlis Perasmian KUD 2017 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pada hari Jumaat, 20 Oktober 2017.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web KKLW www. rurallink.gov.my, Facebook rasmi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah atau Instagram Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu kklw_gov dan twitter rasmi kementerian iaitu kklw_gov.
Tagline bagi KUD 2017 adalah Usahawan Desa Produk Global, manakala hashtag KUD 2017 pula adalah #supportlocal