Universiti UCSI Sarawak menang besar pada Culinaire Malaysia 2017
Pelajar Hospitaliti dan Seni Kulinari raih 9 pingat emas, 3 perak, 6 gangsa
KUCHING: Pelajar Hospitaliti dan Seni Kulinari, Universiti UCSI kampus Sarawak berjaya meraih sembilan pingat emas, tiga pingat perak, enam pingat gangsa dalam pertandingan Culinaire Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam acara selama empat hari pada 26 hingga 29 September itu, pasukan terdiri daripada 19 pelajar menyertai Kategori ‘Hot Cooking’, Kejohanan Barista dan Kejohanan Mocktail.
Kategori Hot Cooking merangkumi empat pengkhususan berbeza iaitu hidangan utama makanan laut/ ikan, hidangan utama ayam itik, makan utama salmon dan hidangan etnik Melayu.
Salah seorang pemenang pingat perak, Kingsley Chuo yang merupakan pelajar Diploma Seni Kulinari tahun kedua, melahirkan penghargaan kerana diberi peluang untuk menyertai acara berprestij tersebut.
“Saya banyak belajar melalui pertandingan ini kerana ia memberi saya banyak pendedahan dan membolehkan saya mendapat pengalaman.
“Atas peluang ini dan bimbingan yang berterusan yang saya terima daripada pensyarah, saya dapat membawa pulang pingat dan membawa kebanggaan kepada universiti saya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ketua Jabatan Hospitaliti dan Seni Kulinari William Anthony berkata, kemenangan itu yang memerlukan usaha gigih bagi menghasilkan keputusan cemerlang, amat membanggakan UCSI Sarawak.
“Pada pandangan saya, yang paling penting untuk dilihat adalah perjalanan pertandingan merupakan satu proses, bukan pengakhiran.
“Kejayaan atau kekalanan sesiapa merupakan satu lagi batu loncatan ke peringkat seterusnya. Jadi nasihat saya kepada sesiapa yang ingin membangunkan kemahiran cemerlang, sama ada dalam seni kulinari atau tidak, adalah untuk tidak menumpukan hasil sekarang; tetapi fokus dengan apa yang telah diraih dan bagaimana anda dapat terus berkembang,” katanya.
Pertandingan seperti itu memberi platform yang hebat untuk memaparkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki pelajar selama bertahun-tahun belajar di UCSI.
Panel hakim yang berpengalaman dapat memberikan analisa kritikal dan maklum balas terhadap prestasi pelajar pada akhir setiap kategori yang telah mereka sertai.
Dengan cara itu, pertandingan dapat menjadi sumber penilaian diri yang berguna untuk pelajar yang tidak dapat dielakkan membantu memupuk pengalaman dan kemahiran mereka.
Kakitangan dan pelajar UCSI merasakan usaha mereka adalah berbaloi dan mereka berharap untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak pertandingan masakan pada masa akan datang. KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai LPI Capital Bhd (LPI) bagi tempoh suku ketiga 2017 (S317) meningkat sebanyak 18.1 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM115 juta berbanding RM97.4 juta, sebelum ini.
Perolehannya untuk S317 juga meningkat kepada RM406.78 juta daripada RM363.52 juta yang dicatat pada S316, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Syarikat insurans itu menyifatkan peningkatan keuntungan pada suku berakhir 30 Sept, 2017 adalah hasil sumbangan pertumbuhan keuntungan diraih segmen insurans am.
“Keuntungan itu meningkat sebanyak 20.4 peratus tahun ke tahun kepada RM102.8 juta daripada RM85.4 juta sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, keuntungan segmen taja jaminan untuk S317 menokok sebanyak 19.9 peratus tahun ke tahun kepada RM83.6 juta daripada RM69.7 juta sebelum ini, sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan pendapatan bersih premium dan peningkatan rizab premium tidak diraih (UPR) dalam suku tersebut.
Menurutnya, ini disebabkan oleh semakan semula anggaran pengiraan UPR serta gabungan nisbah lebih rendah sebanyak 63.9 peratus.
Perolehan LPI bagi tempoh selama sembilan bulan turut bertambah kepada RM1.1 bilion berbanding RM1.02 bilion dalam tempoh sama tahun lepas namun keuntungan sebelum cukainya susut 28.9 peratus tahun ke tahun kepada RM293 juta daripada RM412.1 juta, sebelum ini.
Ia menyifatkan penyusutan itu disebabkan oleh penurunan keuntungan sebelum cukai oleh segmen pelaburannya kepada RM29.1 juta daripada RM178.6 juta.
Ini kebanyakannya disebabkan oleh perolehan sekali sebanyak RM150.4 juta daripada jualan ekuitinya pada tempoh sama, tahun lepas.
“Bagi kemajuan masa depan, kami melihat teknologi sebagai faktor utama yang akan mempengaruhi industri insurans dengan kewujudan perubahan serta peningkatan peralihan dalam jangkaan pelanggan,” katanya.
Sehubungan itu, unit LPI, Lonpac Insuran Bhd, telah menubuhkan sebuah jabatan strategi digital untuk memanfaatkan teknologi dalam usaha pengedaran produk dan mempertingkatkan perkhidmatan kepada para pelanggannya.
“Kami yakin pelaburan dalam teknologi ini dapat membolehkan kami untuk terus mengembangkan segmen perniagaan dan mengukuhkan lagi kedudukan dalam pasaran.
“Malah, bersandarkan peningkatan ekonomi Malaysia serta pembangunan infrastruktur oleh kerajaan secara berterusan, kami percaya kumpulan ini dapat mencatat prestasi lebih baik pada suku akhir tahun ini,” katanya. — Bernama